MAFI tidak bercadang pinda Akta Perikanan
Eton Khir
Jun 9, 2022 12:36 MYT
Jun 9, 2022 12:36 MYT
SERDANG: Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta Perikanan 1985 bagi menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ini kerana akta sedia ada dilihat sudah mencukupi untuk melindungi perairan perikanan negara.
Jelasnya meskipun begitu, kerajaan harus mempertingkatkan aspek penguatkuasaan agar dapat menangani isu tersebut dari terus berleluasa.
“Akta Perikanan sedia ada telah cukup untuk menangani isu itu (pencerobohan nelayan asing) kerana masalahnya adalah penguatkuasaan.
“Jadi pelbagai agensi dipertanggungjawabkan untuk membuat pemeriksaan termasuk Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan agensi yang lain untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan melindungi perairan negara kita daripada diceroboh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pra-Pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Khamis.
Pada masa sama Ronald berkata, secara asasnya nelayan asing tidak dibenarkan memasuki perairan perikanan untuk membuat membuat sebarang tangkapan hasil laut.
“Nelayan asing seharusnya tidak boleh memasuki kawasan perairan perikanan Malaysia. Kita cuma memberi lesen pelbagai kelas dalam industri perikanan ini kepada orang tempatan.
“Jadi kalau ada orang asing yang menceroboh di laut atau perairan perikanan kita, tentu sekali kita perlu tindakan oleh agensi penguatkuasaan untuk menghalang mereka,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan Malaysia bukan sahaja terbeban dengan kewujudan kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ikan di Semenanjung sehingga bekalan hasil laut itu semakin berkurangan.
Malah, kerakusan nelayan asing yang semakin berani menceroboh perairan negara untuk mengaut ikan menyebabkan bekalannya semakin berkurangan di samping memberi implikasi besar terhadap nelayan tempatan.
Lebih membimbangkan, hasil laut negara didakwa mungkin pupus dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, sekiranya kegiatan terbabit gagal dikawal.