MAFI sedia tabung bencana banjir bantu golongan petani - Zawawi

Bernama
November 14, 2021 17:03 MYT
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tiada peruntukan khusus dan jumlah yang telah ditetapkan untuk tabung berkenaan. - Foto BERNAMA
PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memberi bantuan kepada petani yang terkesan akibat banjir tahun ini, menerusi tabung bencana kementerian itu.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tiada peruntukan khusus dan jumlah yang telah ditetapkan untuk tabung berkenaan.
"MAFI memang sudah ada jadual tahunan melibatkan perkara seperti ini, malah kita juga telah mengadakan perbincangan serta mesyuarat, sebagai persediaan jika berlakunya banjir dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MAFI Prihatin di Pejabat Pertanian di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan lebih RM5.6 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan melibatkan 17 projek pembangunan di negeri itu pada tahun ini.
Katanya, peruntukan tersebut memberi manfaat kepada 4,142 petani untuk menghasilkan makanan sendiri yang selamat dan berkualiti, serta dapat mengurangkan kos sara hidup selain menjana pendapatan.
-- BERNAMA
#MAFI #Kementerian Pertanian dan Industri Makanan #bantuan #banjir #Nik Muhammad Zawawi Salleh
;