PASIR PUTEH: Sektor perikanan laut dalam perlu diperkasa kerana ia memiliki potensi sebagai sumber pendapatan lumayan kepada pemain industri, seterusnya memastikan sumber bekalan terjamin, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.

Beliau berkata bagi tujuan tersebut, kementerian akan mendapatkan pandangan serta saranan daripada pihak industri bagi mengubah dan meletakkan perikanan laut dalam sebagai industri lebih kondusif, pada masa hadapan.

"Dalam masa yang sama kita juga akan mendengar dan mengambil kira permasalahan yang mereka hadapi, untuk merangka satu dasar yang sesuai dengan kehendak mereka.

"Ini termasuk melihat semula gesaan supaya kerajaan mengeluarkan subsidi bahan api kepada bot-bot nelayan kelas C2, yang diberhentikan pada tahun 2019," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat kilang ikan Gelombang Utama Sdn Bhd di Tok Bali, di sini, semalam.

-- BERNAMA