MAFI bercadang wujud akta khusus untuk benih dan baja

Bernama
Februari 19, 2021 07:12 MYT
Ronald Kiandee dan Jeffrey Kitingan (kiri) pada sidang media selepas mengadakan pertemuan rasmi antara dua kementerian itu, di Kota Kinabalu, 19 Feb, 2021. --fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bercadang memperkenalkan undang-undang khusus berkaitan benih dan baja dalam usaha mengawal selia bahan berkenaan.
Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee berkata cadangan itu antara beberapa perkara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah pada Jumaat.
Perkara lain yang dibincangkan ialah mengenai pengeluaran padi dan beras, pelaburan dalam industri ruminan serta mewujudkan agensi seperti Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia di negeri itu, katanya pada sidang media di sini.
Terdahulu, beliau dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Sementara itu, Jeffrey berkata cadangan mewujudkan akta khusus untuk baja dan benih tersebut bagi memastikan industri agromakanan negara terus berkembang.
Katanya beliau yakin kerjasama erat di antara kedua-dua kementerian itu dapat meningkatkan lagi aspek sekuriti makanan selain menangani isu-isu yang mengekang perkembangan industri makanan negara, khususnya di Sabah.
-- BERNAMA
#Kementerian Pertanian dan Industri Makanan #MAFI #benih #baja #Ronald Kiandee #Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah #Sabah #Padi #beras #Jeffrey Kitingan #Agromakanan #sekuriti makanan #industri makanan #akta #pelaburan #industri ruminan
;