MAF, Perkeso jalin kerjasama bantu pencarum HIV/AIDS

Eton Khir
Disember 6, 2021 22:09 MYT
Perkeso dan MAF menjalinkan kerjasama bagi memperkasakan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) dalam kalangan pencarum.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) menjalinkan kerjasama bagi memperkasakan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) dalam kalangan pencarum.
Kerjasama tersebut merangkumi aktiviti berteraskan aspek pencegahan, pemulihan dan pengurusan hilang upaya.
Pengerusi MAF, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, sokongan Perkeso bagi program Skim Bantuan Perubatan MAF adalah kritikal terhadap sasaran untuk mengakhiri epidemik AIDS menjelang tahun 2030 dengan memastikan pesakit mendapatkan rawatan second-line antiretroviral therapy atau ARV.
Katanya, ARV adalah 'senjata' paling berkesan untuk menghalang kesan negatif jangkitan virus HIV dalam tubuh manusia.
"Sejak tahun 1998, rawatan HIV telah wujud dan dalam tiga dekad ini ia telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Namun malangnya, peyembuhan secara keseluruhan itu belum ada bagi virus HIV ini.
"Diharapkan dengan rawatan ARV dan skim bantuan ini dapat membantu penghidap HIV di luar sana untuk kembali pulih dengan daya tahan tubuh yang lebih stabil," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAF dan Perkeso di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, pada Isnin.
Pada masa sama, Dr Adeeba berkata, MAF amat mengalukan pendekatan progresif Perkeso terhadap ODHA di tempat kerja yang diharap menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih meluas untuk menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap golongan itu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata bantuan sebanyak RM276,000 yang diberikan menerusi Skim Bantuan Perubatan di bawah kelolaan MAF itu dapat membantu untuk menampung kos rawatan ODHA dari kalangan pencarum PERKESO sehingga 12 bulan.
“Perkeso menyedari akan keperluan golongan ODHA untuk mendapatkan rawatan ARV bagi meningkatkan daya ketahanan dan imuniti badan mereka supaya dapat menjalani kehidupan yang sihat dan normal.
“Malah kami juga yakin rawatan HIV ini mampu mencegah golongan berkenaan daripada mengalami komplikasi HIV yang serius AIDS, sekali gus mengelakkan mereka daripada mengalami hilang upaya bekerja dan keilatan,” katanya.
Justeru, dalam usaha untuk menjamin tahap kebolehpasaran golongan ODHA dalam pasaran buruh negara, adalah penting untuk memastikan kesihatan mereka berada pada tahap yang optimum, katanya.
#perkeso #Yayasan AIDS Malaysia #AIDS #HIV
;