MAEPS sesak? 40 peratus masih kosong - Redzuan Yusof

Shuhada Abdul Kadir
Januari 9, 2021 14:31 MYT
MOHD REDZUAN: Penambahan pusat kuarantin sementara susulan peningkatan kes positif COVID-19 akan diputuskan mengikut keperluan semasa. - Gambar fail
ALOR GAJAH: Kerajaan menafikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Risiko Rendah Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), sesak seperti ditularkan baru-baru ini.
Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, malahan pusat kuarantin berkenaan masih mempunyai kapasiti 40 peratus untuk menempatkan pesakit.
Menurut beliau, setakat ini kapasiti di PKRC itu telah dipenuhi kira-kira 60 peratus pesakit - terdiri daripada mereka yang tidak bergejala atau bergejala ringan, namun didapati positif COVID-19.
Ujarnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan video itu tular disebabkan sifat segelintir pihak mengharapkan layanan atau tempat rawatan bertaraf kelas pertama.
“Saya telahpun buat siasatan.. orang yang datang ke situ mengharapkan ‘penginapan kelas pertama’.
“Ini (kemudahan yang disediakan) adalah SOP yang kita telah dipersetujui diperingkat tertinggi untuk kita laksanakan. Tetapi jika ada sedikit kekurangan, kita amat peka dan kita akan lebih sensitif untuk menambah baik keadaan itu.
“Jadi tak timbul isu MAEPS itu sesak dan terlalu ramai. Tidak. Cuma digambarkan (video yang tular) ketika orang berdaftar. (Semasa) mendaftar, biasalah, bila duduk ramai-ramai ada yang nak berkumpulan dengan kawan-kawan mereka tapi dalam gambar (video) boleh dinampakkan sebagai sesak. Sebenarnya tidak.
“Hakikatnya, hari ini di MAEPS itu kapasitinya baru sahaja mencapai tahap 60 peratus. Masih lagi ada kekosongan,” ujar Mohd Redzuan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana 5.0 ‘Etno-Sains Bertanjak’ di Anggerik Malaysia, Melekek, Alor Gajah, hari ini.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 41 saat di media sosial memaparkan keadaan di PKRC MAEPS sesak sehingga mencetuskan kebimbangan netizen.
Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, penambahan pusat kuarantin sementara susulan peningkatan kes positif COVID-19 akan diputuskan mengikut keperluan semasa.
Jelasnya, setakat ini PKRC sedia ada di seluruh negara masih lagi mencukupi dengan kadar kes sembuh direkodkan tinggi, meskipun kadar kes harian turut meningkat.
#Mohd Redzuan Yusof #Maeps #pusat kuarantin #rawatan #maeps sesak #video tular #PKRC #pandemik #COVID-19
;