MAEPS jadi pusat kuarantin khusus untuk PATI dari depoh tahanan imigresen

Astro Awani
Mei 25, 2020 15:39 MYT
Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) akan dijadikan sebagai Pusat Kuarantin Khusus untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari tiga depoh imigresen yang positif COVID-19.
Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) akan dijadikan sebagai Pusat Kuarantin Khusus untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari tiga depoh imigresen yang positif COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi mengekang penularan jangkitan kepada tahanan PATI dalam depoh berkenaan.
"Mengenai depoh tahanan imigresen, seperti yang kita tahu terdapat positif COVID-19 yang meningkat di kalangan tahanan PATI di depoh ini iaitu Depoh Tahanan Imigresen di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang.
"Mereka yang positif akan dihantar ke pusat kuarantin COVID-19 di MAEPS, Serdang. Jadi kita akan hantar mereka dan MAEPS ini akan dijadikan sebagai Pusat Kuarantin Khusus untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang positif dan kita asingkan mereka dengan rakan mereka yang lain. Ini bagi memastikan supaya tidak merebak di kalangan tahanan depoh yang lain," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Sementara itu, orang ramai diingatkan agar tidak bimbang dengan peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan PATI di depoh-depoh tahanan imigresen.
Ia berikutan jelas Ismail Sabri, ia diyakini tidak akan menjangkiti mereka yang berada di luar depoh tahanan memandangkan keadaannya yang terkurung selain saringan serta ujian yang dilakukan ke atas PATI.
"Mungkin rakyat agak bimbang dengan peningkatan kes agak tinggi di kalangan PATI di depoh. Rakyat tidak perlu bimbang kerana mereka sudah pun terkurung di dalam kawasan depoh tersebut. Jadi peluang untuk (COVID-19) merebak di luar adalah tidak ada sebab di dalam itu ada saringan kepada semua PATI termasuk pegawai.
"Yang didapati positif akan terus dihantar ke MAEPS. Saya baru pulang dari MAEPS , kawat besi sudah dipasang untuk mengelilingi MAEPS supaya menghalang PATI daripada melarikan diri. Tentera, polis dan imigresen juga sedang berada di sana begitu juga barisan hadapan lain seperti doktor, jururawat," tambahnya.
Justeru, beliau mahu semua pihak bertenang memandangkan kesemua PATI terlibat berada di depoh tahanan sejak awal lagi.
"Jangan pula apabila Ketua Pengarah Kesihatan umum kes hari ini meningkat berbanding semalam, sebagai contoh. Yang kes tinggi itu bukan daripada rakyat Malaysia tetapi dari PATI yang telah kita kurung mereka dalam depoh tahanan masing-masing," kata beliau lagi.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pesakit COVID-19 dari kalangan rakyat tempatan telah dipindahkan ke Hospital Sungai buloh bermula hari ini.
"Di situ kita akan letak PATI sahaja sebab kita tidak mahu bercampur antara PATI dan rakyat kita. Oleh sebab itu kita letak kawat berduri dan sebagainya.
"Kita tidak pernah letak kawat berduri untuk rakyat kita sebab mereka tidak akan lari. Namun kalau PATI mereka akan cuba lari sebab tiada dokumen sah," ujarnya lagi.
#Bukit Jalil #COVID-19 #Imigresen #ismail sabri yaakob #keselamatan #kesihatan #koronavirus #Malaysia #Media #menteri #pati #polis #rakyat #rakyat Malaysia #Semenyih #Sepang #tentera
;