Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram mungkin diroboh - Exco Johor

Sinar Harian
Mei 21, 2024 12:50 MYT
Madrasah Luqmanul Hakim di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru yang terletak atas tanah persendirian tidak lagi beroperasi sejak 2001. - Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram di sini yang sebelum ini didakwa menjadi tempat menyemai fahaman militan dan ekstremisme sudah pun ditutup pada 2001.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, siasatan pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dilakukan dan mengesahkan madrasah tersebut kini tidak lagi beroperasi.
"Saya menerima aduan masyarakat setempat yang mendakwa madrasah itu dijadikan pusat pengajaran sebuah pertubuhan keganasan masih digunakan, ini disuarakan sejak peristiwa serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini pada Jumaat lalu.
"Sejak madrasah tersebut ditutup lebih 20 tahun lalu, pihak MAINJ tidak menerima sebarang permohonan untuk memperbaharui pendaftaran pusat tersebut.
"Hasil semakan, kita boleh mengisytiharkan bangunan tersebut tidak lagi ada kegiatan," katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Islam Kampung Plentong Baru di sini pada Isnin.
Beliau berkata, balai tersebut didirikan etnik Rohingya dan dijadikan tempat untuk 113 anak-anak mereka belajar agama Islam.
Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, pihak MAINJ dan PDRM akan melihat bangunan itu selepas ini malah sedia menimbang sekiranya perlu dirobohkan atas sebab-sebab keselamatan termasuk kebimbangan masyarakat digunakan pihak atau kumpulan tidak bertanggungjawab.
"PBT boleh melihat kepada keperluan aspek kacau- ganggu yang berlaku, boleh menyebabkan kerajaan menggunakan kuasa-kuasa tertentu bagi maksud pemulihan kacau- ganggu itu.
"Saya kira kerajaan boleh mengambil tindakan ke tahap itu, ia adalah solusi terakhir," ujarnya.
Pada Jumaat media melaporkan kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram pada jam 2.30 awal pagi yang mengorbankan dua anggota polis, manakala seorang lagi mengalami kecederaan.
Dalam kejadian itu, seorang penyerang yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang dengan menunggang motosikal menceroboh serta menyerang balai itu mati ditembak di lokasi kejadian.
Madrasah itu difahamkan menjadi lokasi berkumpul bekas pemimpin kanan Jemaah Islamiyah (JI), Nasir Abbas dan Noordin Mat Top iaitu ketua kumpulan serpihan radikal dikenali Tandzim Al-Qoidah Indonesia yang maut dalam operasi pasukan khas anti keganasan Indonesia Detasmen Khusus 88 di Kepuhsari, Solo, Jawa Tengah pada 17 September 2009.
Madrasah itu difahamkan menjadi lokasi berkumpul Nasir dan Noordin bersama sahabatnya pakar bom, Dr Azahari Hussin, selain pengasas bersama kumpulan JI dari Indonesia, Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar.
Madrasah di tepi jalan dan jauh dari rumah penduduk setempat itu terletak kira-kira 19 kilometer dari Bandar Raya Johor Bahru dan berhampiran rumah suspek yang menyerang balai polis berkeaaan. - Sinar Harian
#Madrasah Luqmanul Hakim #Ulu Tiram #serangan balai polis #fahaman ekstremisme
;