Madius hantar usul mansuh JASA
Astro Awani
November 27, 2020 23:33 MYT
November 27, 2020 23:33 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Madius Tangau telah menghantar satu usul berhubung pemansuhan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) kepada Dewan Rakyat, pada Khamis.
Biarpun terdapat cadangan untuk mengubah terutama butiran mengenai perluasan JASA, namun beliau tidak berganjak dari pendirian untuk memotong sepenuhnya peruntukan tersebut.
"Usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bahawa jumlah sebanyak RM1,242,464,900 untuk Maksud B 47 di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam Jadual kepada Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 (DR 16/2020) hendaklah dikurangkan sebanyak RM81,500,000.
"Langkah ini saya ambil untuk memastikan supaya JASA atau apa pun nanti jenama agensi itu hendaklah dimansuhkan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berharap Speaker Dewan Rakyat menerima dan membenarkannya untuk membentangkan usul itu ketika Perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pada Khamis mengumumkan pengurangan peruntukan JASA, berbanding RM85.5 juta yang diumumkan sebelum ini.