Madinah jadi saksi pertemuan bermakna ibu bapa dan anak

Azlinariah Abdullah
Mei 13, 2024 08:45 MYT
Muhammad Ati'qullah (tengah) bersyukur dapat menjadi pembimbing ibunya, Ruzila Ab Halim dan ayahnya, Mohd Nasir Yusof semasa menyertai ziarah luar di Madinah.
MADINAH: Setahun tidak berjumpa ibu ayahnya. Dia pelajar Malaysia Tahun 2 di Madinah, ibu bapanya pula di Malaysia.
Musim haji tahun ini, dia memohon menjadi muzawwir dan diterima. Ibu bapanya pula menolak tawaran untuk menjadi tetamu Allah pada tahun 2023, tetapi mendapat rezeki lagi ke Tanah Suci pada tahun ini, 1445H/2024.
Madinah jadi saksi pertemuan keluarga dan anak
Sebagai muzawwir, Muhammad Ati'qullah Mohd Nasir, 23, tugasnya membantu Lembaga Tabung Haji (TH) membawa jemaah haji Malaysia untuk ziarah luar semasa jemaah berada di bumi itu selama lima hari.
Dan, yang dibawanya tahun ini ialah ibu bapanya sendiri, pasangan suami isteri Ruzila Ab Halim dan Mohd Nasir Yusof.
"Saya bersyukur dan gembira dapat berjumpa ibu ayah di sini. Hari-hari berjumpa di Kelantan, tidak sama dengan lima hari di sini, di Madinah. Jumpa di sini tempat barakah, Alhamdulillah, syukur," kata Muhammad Ati'qullah semasa ditemui pemberita di Madinah.
Menurut pelajar Tahun 2 jurusan Bahasa Arab ini, dia ada dimaklumkan bahawa ibu bapanya mendapat tawaran mengerjakan haji pada tahun ini tetapi pada masa itu masih belum mendapat keputusan sama ada diterima menjadi muzawwir atau sebaliknya.
"Hanya seminggu sebelum mak dan baba (bapa) sampai di sini, saya mendapat tawaran menjadi muzawwir. Itulah saya gembira dan bersyukur sangat dengan rezeki diberikan ini," katanya yang juga seorang hafazan.
Tugas muzawwir ialah memberi penerangan kepada jemaah bermula daripada mereka menaiki bas dari hotel sehingga ke tempat hendak dituju iaitu di Masjid Quba, Ladang Kurma Majed, Masjid Qiblatain dan Masjid Khandak atau Masjid Tujuh.
Kebiasaannya jemaah haji akan berada di Madinah selama lima hari untuk pengisian aktiviti di bandar itu sebelum bergerak ke Mekah bagi operasi haji.
Setiap jemaah haji musassah akan diberikan peluang untuk melakukan aktiviti ziarah luar dan dalam selama berada di Madinah.
Selain perlu memiliki keputusan cemerlang dalam setiap semester, kriteria muzawwir pelengkap operasi TH perlu mempunyai kemahiran berbahasa Arab dan berilmu mengenai lokasi bersejarah di Madinah.
Ditanya bagaimana boleh memilih universiti di Madinah untuk pengajiannya, Muhammad Ati'qullah berkata, asalnya dia memilih Universiti Kaherah di Mesir tetapi bapanya menyuruh dia mengambil pengajian bahasa Arab, yang juga bahasa al-Quran.
Yang disuruh pilih ialah di Madinah. Jadi saya tukar dari Mesir ke Madinah.
"Jika saya di Mesir dan tidak ikut cakap ayah, mungkin pertemuan ini, di Madinah ini tidak berlaku," katanya yang akan pulang bercuti di Malaysia selepas peperiksaan selesai.
Katanya, selepas kembali dari Malaysia, untuk semester seterusnya, dia akan membuat pengkhususan dalam pengajian al-Quran pula.
Sementara itu, ibunya, Ruzila, yang merupakan guru bahasa Arab di SK Bachok Kelantan memberitahu, perasaannya sangat bersyukur apabila anak sulungnya itu dapat tawaran belajar di universiti di Madinah.
"Saya yang mendorongnya untuk dia ambil pengajian yang dia ikuti sekarang dan pilih universiti di Madinah. Saya juga yang setiap hari berdoa agar kami sekeluarga semua peroleh sesuatu yang barakah dari Madinah. Saya juga selalu katakan kepadanya supaya ambil peluang dan timba pengalaman jadi mutawwif di sini.
"Alhamdulillah, semua ini berlaku dengan izinNya juga. Saya dapat jumpa anak di sini, di Madinah, semua orang inginkan keberkatan di sini. Mati pun orang biasanya ingin mati di sini. Saya, jumpa anak di sini, itu saya rasa keberkatan Madinah, yang orang selalu katakan," kata ibu kepada lima anak ini.
Menurut Ruzila, anaknya itu menyambutnya di hotel penginapan sebaik sahaja mendapat tahu dia dan suami tiba di Madinah sebelum dimaklumkan ada ziarah luar akan dikendalikan oleh muzawwir.
"Tetapi pada waktu itu saya tidak tahu pula anak saya, Muhammad Ati'qullah yang akan membawa jemaah, yang juga termasuk saya dan suami, " kata beliau.
Dalam pada itu bapanya, Mohd Nasir pula berkongsi bahawa pada 2023, dia dan isteri sudah mendapat tawaran untuk mengerjakan haji tetapi terpaksa menolak rezeki itu atas sebab-sebab tertentu.
Bagaimanapun, untuk tawaran tahun ini, dia dan isteri tidak dapat menolaknya dan akui bahawa ternyata Allah mahu memberikan rezeki terbaik untuk mereka semua.
"Alhamdulillah, jika saya terima tawaran pada 2023, mungkin saya tidak berjumpa anak saya di Madinah dan menjadi muzawwir kepada kami semua. Itu adalah rezeki paling besar pernah saya peroleh," kata Pengarah Pusat Pemulihan Akhlak di Machang, Kelantan, yang kesemua anaknya hafaz al-Quran.
Tambahnya, dia pernah datang ke Madinah bersama isteri dan dua anak termasuk Muhammad Ati'qullah sendiri dan berdoa di Raudah supaya anaknya itu dapat melakukan sesuatu yang berkat di bumi Madinah.
"Saya katakan kepada Muhammad Ati'qullah, dia perlu datang lagi, jadi hafiz dan khatam al-Quran berkali-kali dan berbuat sesuatu yang berkat di bumi berkat seperti Madinah.
"Mungkin kerana amalan memegang al-Quran di hati dan di minda, semua ini berlaku, walaupun saya paksanya mengambil jurusan bahasa Arab dan memaksanya datang ke Madinah, tiada lain yang saya boleh katakan, hanya syukur," ujar beliau.
#Haji 2024 #jemaah haji Malaysia #pertemuan bermakna #Madinah
;