MADA sentiasa pantau paras air empangan

Bernama
Oktober 13, 2024 20:43 MYT
Paras air takungan Empangan Muda telah mencapai tahap 100 peratus penuh 100.59 meter pada 10.30 malam semalam dan meningkat ke paras 101.13 meter dengan kadar alir limpahan sebanyak 65.16 meter padu sesaat. - Gambar fail
ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sentiasa melaksanakan pemantauan dan akan memaklumkan kepada agensi berkaitan jika limpahan air di empangan mencapai paras bahaya berikutan hujan lebat kebelakangan ini.
MADA dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Tindakan Kecemasan Keselamatan Empangan MADA bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sekiranya air tadahan empangan menunjukkan peningkatan.
"Paras air takungan Empangan Muda telah mencapai tahap 100 peratus penuh 330 kaki (100.59 meter) pada 10.30 malam semalam dan meningkat ke paras 331.8 kaki (101.13 meter) dengan kadar alir limpahan sebanyak 2,301 kaki padu sesaat (65.16 meter padu sesaat).
"Limpahan ini mengalir melalui lembangan Sungai Muda dan tidak akan memasuki kawasan sawah. MADA telah memberi maklumat awal kepada pihak terlibat berhubung kedudukan semasa takungan Empangan Muda serta limpahan yang berlaku," menurut kenyataan itu.
MADA memaklumkan, hujan lebat sejak beberapa hari lepas meningkatkan paras takungan dan secara puratanya hujan di tadahan Empangan Pedu, Muda dan Ahning masing-masing sebanyak 67 milimeter (mm), 130 mm dan 47 mm.
"Setakat semalam, status keseluruhan kedudukan semasa takungan empangan di bawah seliaan MADA bagi ketiga-tiga empangan adalah 62.95 peratus.
"Kapasiti takungan Empangan Pedu adalah 50.77 peratus, Empangan Muda 97.34 peratus dan Empangan Ahning 91.46 peratus," menurut MADA.
-- BERNAMA
#paras air #mada #empangan #limpahan air
;