MACC patut siasat skandal pembelian hartanah MARA - TI-M
Astro Awani
Jun 24, 2015 21:31 MYT
Jun 24, 2015 21:31 MYT
Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan pelaburan dana kerajaan Malaysia disalah guna di luar negara.
Seperti yang dilaporkan mengenai kes melibatkan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Presiden TI-M Datuk Akbar Satar berkata MACC mempunyai kuasa untuk menyiasat perkara ini walaupun transaksinya berlaku di Australia.
Ini berdasarkan Akta SPRM yang memperuntukkan tindakan rasuah di luar negara juga boleh dianggap dilakukan di Malaysia.
Pembelian hartanah di Australia patuhi tatacara perolehan Kementerian Kewangan - Pengerusi MARA
Tambah beliau, pihak yang bertanggungjawab patut diadili.
"Pegawai yang terlibat patut dikenakan tindakan kerana mengkhianati amanah dengan menggunakan wang cukai rakyat untuk perkara yang salah.
"SPRM juga wajar mendapatkan bantuan dari Australia untuk mendapatkan bukti," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, TI-M juga menggesa SPRM memeriksa aktiviti perolehan syarikat berkaitan MARA dan juga segala transaksi kewangan berkaitan.
Akbar juga mengalu-alukan saranan Najib untuk mengenakan tindakan keras ke atas sesiapa yang didapati bersalah.
Najib, melalui laman Facebook dan Twitter beliau, berkata pihak berkuasa akan menjalankan siasatan komprehensif atas dakwaan berkenaan dan sekiranya terdapat salah laku, tindakan akan dilaksanakan.
Terbaru, akhbar Australia, The Age sebelum ini melaporkan seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.