Macau Scam: Wanita rugi lebih RM125,000 ditipu penyamar LHDN, polis

Adie Sufian Zulkefli
Januari 28, 2021 11:11 MYT
Mangsa pada mulanya menafikan dakwaan yang dibuat namun suspek kemudian menyambungkan talian kepada seorang pegawai polis.
ALOR SETAR: Seorang kakitangan awam berputih mata apabila duit pinjaman dan simpanannya lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam.
Mangsa wanita berusia 46 tahun itu bekerja sebagai pembantu tadbir amanah kerugian RM125,498.25 selepas ditipu anggota sindiket yang mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Supt Elias Omar kerugian yang dialami mangsa adalah yang tertinggi direkodkan setakat ini di Kontinjen Kedah.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa menerima panggilan dari suspek sekitar bulan ini yang mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai bernilai RM38,600.90.
"Dia juga dimaklumkan, sekiranya tidak membuat pembayaran, pihak LHDN akan membekukan kesemua akaun mangsa dan tindakan undang-undang akan diambil," kata Elias.
Menurutnya, mangsa pada mulanya menafikan perkara itu namun suspek kemudian menyambungkan talian kepada seorang pegawai polis.
Mangsa kemudian dimaklum oleh 'pegawai polis' terbabit bahawa akaunnya terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram berniRM2.28 juta.
Ekoran daripada itu, mangsa sering menerima panggilan sehingga dia berasa takut dan membuat pinjaman bank sebanyak RM120,000.
Mangsa kemudian diminta suspek supaya membuat kad juruwang automatik (ATM) baru serta membatalkan perbankan dalam talian miliknya.
Mangsa akur dan mengikut seperti apa yang diarahkan suspek malah turut memberikan pautan internet termasuk kata laluan bagi tujuan 'siasatan'.
Dia kemudiannya diarahkan mengisi segala maklumat peribadi termasuk butiran kad ATM serta diugut supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat ketika siasatan dijalankan.
Sejurus itu mangsa membuat semakan bank dan mendapati wang dalam akaun miliknya hilang sebanyak RM125,498.25.
Elias berkata, susulan itu, mangsa membuat laporan polis malam tadi dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
#LHDN #bank #mangsa #suspek #cukai #siasatan #undang-undang #haram #sindiket #Macau Scam #jenayah #polis #Kedah #kertas siasatan #laporan polis #tipu #menyamar #maklumat peribadi #kad ATM #Elias Omar #kerugian
;