Macau Scam: Pesara guru rugi RM199,500

Bernama
Oktober 27, 2023 16:29 MYT
Mangsa mendakwa dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat penghantaran bahawa terdapat barang atas namanya. -Gambar hiasan/Pixabay
KUANTAN: Wang simpanan dan pencen seorang pesara guru berjumlah RM199,500 lesap apabila diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis, bulan lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 61 tahun mendakwa dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat penghantaran pada 1 Sept lepas yang memaklumkan terdapat barang atas namanya.
"Suspek seterusnya mendakwa nama mangsa dikaitkan dalam penghantaran barang terlarang menyebabkan dia perlu bercakap dengan pegawai polis kerana perkara itu sudah disiasat pihak berkuasa.
"Suspek kedua yang menyamar sebagai pegawai polis kemudiannya menakutkan mangsa dengan mengatakan wang mangsa akan disita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Yahaya berkata suspek juga mengarahkan mangsa untuk memindahkan wang simpanannya ke akaun yang diberikan kononnya milik pegawai penyiasat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tujuan siasatan supaya wang itu tidak disita.
Mangsa mendakwa telah melakukan lapan transaksi pemindahan wang ke enam akaun berbeza diberikan suspek sebelum menyedari dirinya ditipu kerana gagal menghubungi 'pegawai polis' bagi bertanya perkembangan siasatan terhadap akaun miliknya.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam.
Yahaya menasihatkan orang ramai untuk menyemak dengan polis jika menerima panggilan telefon meragukan dan tidak membuat sebarang transaksi pemindahan wang tanpa membuat semakan, bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Semakan terhadap nombor akaun dan nombor telefon juga boleh dibuat di pautan https://semakmule.rmp.gov.my.
-- BERNAMA
#Macau Scam #pesara guru #menyamar sebagai pegawai polis #pekerja syarikat penghantaran
;