Macau Scam: Guru kena tipu, wang pencen arwah suami RM233,480 lesap

Bernama
Januari 26, 2023 18:00 MYT
Ramli menasihatkan orang awam untuk tidak cemas apabila menerima panggilan kononnya pihak berkuasa dan tidak mendedahkan maklumat peribadi serta perbankan kepada pihak ketiga. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang guru wanita mendakwa wang pencen arwah suaminya berjumlah RM233,480 lesap selepas dirinya diperdayakan sindiket Macau Scam, sejak dua minggu lepas.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa berusia 55 tahun dari Maran, mendakwa pada mulanya dihubungi suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran pada 13 Jan lepas.
"Mangsa mendakwa suspek mengaitkan dirinya dengan kegiatan pengedaran barang larangan dan kes penggubahan wang haram yang telah menjadi kes polis.
"Dia kemudiannya dihubungi suspek kedua yang menyamar sebagai pegawai polis yang turut meminta maklumat perbankan mangsa kononnya bagi tujuan siasatan," katanya, menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Ramli berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas semakan di bank mendapati terdapat 16 transaksi pemindahan wang secara dalam talian dilakukan tanpa pengetahuannya.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, semalam.
Ramli menasihatkan orang awam untuk tidak cemas apabila menerima panggilan yang kononnya dari pihak berkuasa dan tidak mendedahkan maklumat peribadi serta perbankan kepada pihak ketiga.
"Pihak penguat kuasa tidak menjalankan sebarang siasatan menerusi panggilan telefon dan orang awam dinasihatkan untuk sentiasa menyemak dengan polis atau bank jika menerima panggilan seupamanya," katanya.
-- BERNAMA
#Macau Scam #guru #wang pencen #Pahang
;