'Macam tidur semalaman di Parlimen' - Fahmi Fadzil tegur butang 'check out' MySejahtera

Hasimi Muhamad
September 20, 2021 16:56 MYT
Aplikasi MySejahtera dikemas kini dengan penambahan kemudahan paparan status vaksinasi dan risiko seseorang - Gambar fail
KUALA LUMPUR: "Ada yang seolah-olah tidur semalaman di Parlimen."
Itu antara kritikan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berhubung beberapa ciri baharu yang ditambah baik terhadap aplikasi MySejahtera.
Jelas beliau, ramai dalam kalangan pengguna aplikasi tersebut 'terlupa' untuk menekan butang ‘daftar keluar’ atau 'çheck-out' kerana tiada peringatan yang diberikan untuk melengkapkan fungsi ‘daftar masuk’ pada aplikasi COVID-19 itu.
Membahaskan Titah Diraja, Fahmi menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjelaskan perkara tersebut, selain menambah baik aplikasi sedia ada.
"Contohnya hari ini ramai dalam kalangan kita yang masukkan ke dalam Dewan ini, yang 'log in' tetapi tak 'log out', kita tak diberikan peringatan. Malah, ada yang seakan-akan tidur semalam di Parlimen sebab tak 'check-out' di Parlimen.
"Jadi, apakah sebenarnya yang boleh kita lakukan? Tak payah fikir pasal 'super apps', tetapi kita baikilah aplikasi yang ada sekarang ini," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan aplikasi MySejahtera dikemas kini dengan penambahan kemudahan paparan status vaksinasi dan risiko seseorang.
Paparan baharu itu antaranya, akan menunjukkan sama ada seseorang itu sudah divaksinasi sepenuhnya atau tidak setiap kali mengimbas kod QR daftar masuk.
Selain itu, satu butang 'daftar keluar' turut ditambah ke dalam aplikasi MySejahtera bagi menambah baik usaha menjejaki kontak rapat.
Membahas lanjut, Fahmi turut meminta agar KKM memberi penjelasan terhadap gangguan teknikal yang berlaku semasa pendaftaran vaksin AstraZeneca pada Mei lalu.
"Jadi saya pohon Menteri Kesihatan berikan jawapan dalam masa terdekat pada 23 September ini, tolong beri penjelasan. Berapakah duit rakyat yang telah dibelanjakan untuk membangunkan laman web tersebut?" soalnya lagi.
#MySejahtera #Fahmi Fadzil #Butang check out #Kementerian Kesihatan
;