'Macam pergi London' - Zee Avi mohon penjelasan harga tiket ke Sabah, Sarawak mahal

Madiha Abdullah
November 27, 2021 09:15 MYT
Zee Avi harap pihak berwajib beri penjelasan mengapa harga tiket ke Sabah dan Sarawak sangat mahal pada musim Krismas yang akan datang. - Instagram@zee.avi
PENYANYI dan komposer kelahiran Kuching, Sarawak, Zee Avi berharap pihak bertanggungjawab memberi penjelasan munasabah mengapa harga tiket ke Sabah dan Sarawak sangat mahal pada musim Krismas akan datang.
Zee yang menetap di ibu negara bersama suami, mengakui terpaksa menukar perancangan untuk pulang ke Kuching pada waktu itu.
"Saya ada tengok jadual perjalanan dan tiket ke Eropah dari 23 Dis sehingga 27 Dis, tak ada yang semahal nak balik Sarawak.
"Memang terkejut, ada yang sampai RM2,000 ke atas untuk perjalanan sehala, hampir sama harga dengan tiket penerbangan ke London.
"Saya dan keluarga pun tak dapat balik, walaupun awalnya ada perancangan nak bawa suami balik jumpa keluarga di Kuching.
"Saya harap pihak berwajib dapat beri alasan yang kukuh mengapa tiket penerbangan ke Sarawak sangat mahal," katanya dalam temu bual bersama media secara maya, pada Jumaat.
Sebelum ini, seorang lagi artis dari Sarawak, Alena Murang, meluahkan kekecewaannya di laman sosial dengan harga tiket ke Sabah dan Sarawak yang disifatkannya terlalu mahal.
"Kalaulah anda tahu berapa banyak air mata yang ditumpahkan rakyat Sarawak kerana tidak dapat pulang ke kampung tahun lepas, bertimbang rasalah," kata Alena.
Malaysia Airlines sebelum ini ada memaklumkan harga tiket akan berubah mengikut permintaan dan penawaran.
Namun jawapan tersebut tidak memuaskan hati banyak pihak dan berharap pihak yang bertanggungjawab segera menyelesaikan isu ini.
BACA: Malaysia Airlines tambah penerbangan ke Sarawak mulai 11 Dis
Tiket Mahal | Penerbangan ke Sarawak ditingkatkan kepada 307
Dalam pada itu, Zee yang baru mendirikan rumah tangga dengan lelaki Jepun, Kenji Matano pada 22 November lalu, mengakui mempunyai perancangan untuk mengadakan majlis resepsi di kampung halamannya, namun enggan terburu-buru kerana seboleh mungkin mahu memastikan ahli keluarga dan rakan-rakan dapat sama-sama meraikan perkahwinan mereka.
BACA: Zee Avi kahwini jejaka Jepun
"Majlis pernikahan baru-baru ini dijalankan sangat ringkas dan dihadiri 15 orang sahaja kerana ikut SOP. Kawan-kawan pun saya tak jemput.
"Perancangan resepsi itu ada, kalau boleh nak adakan majlis yang besar sedikit untuk keluarga dan rakan-rakan, tetapi apa-apa pun kena tengok keadaan juga.
"Harapnya tak lama lagi," katanya lagi.
#Zee Avi #Sabah #Sarawak #Harga tiket mahal
;