Macam malam raya, 5.6 juta kenderaan banjiri lebuh raya sempena cuti sekolah
S Arutchelvan
Jun 5, 2022 18:06 MYT
Jun 5, 2022 18:06 MYT
SHAH ALAM: Sebanyak 5.6 juta kenderaan membanjiri lebuh raya seluruh negara menyebabkan aliran trafik sesak di beberapa laluan utama sejak Jumaat.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, sejak fasa peralihan endemik, jumlah trafik harian di lebuh raya utama adalah sebanyak 4.52 juta kenderaan menyamai jumlah dicatatkan semasa pra pandemik pada Mac 2020.
Menurutnya, jumlah tersebut meningkat kepada 5.32 juta kenderaan pada Jumaat berikutan pergerakan trafik yang amat tinggi dari Lembah Klang ekoran cuti panjang.
"Jumlah trafik mencatatkan peningkatan kepada 5.6 juta kenderaan pada Sabtu menyamai aliran trafik dicatatkan semasa malam sebelum Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
"Hari ini pun sehingga jam 2 petang dikesan kesesakan di sektor utara di Gua Tempurung, kawasan selatan turut menunjukkan peningkatan aliran dari arah Johor begitu juga di sektor timur di Karak," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan trafik di Plaza Tol Gombak menghala Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dipenuhi kenderaan warga kota yang ingin meninggalkan Lembah Klang.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kesesakan dianggarkan sejauh dua kilometer (km) dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke plaza tol terbabit pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Bakri berkata, pihak JSPT sentiasa memantau aliran trafik di seluruh negara dan menempatkan anggota serta pegawai di di beberapa lokasi utama untuk menjalankan tugas penyuraian trafik sepanjang tempoh cuti sekolah berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan trafik.
Katanya, orang ramai boleh menyalurkan rakaman video berkenaan kesalahan trafik menerusi halaman Facebook JSPT supaya tindakan dapat diambil terhadap mereka yang tegar melanggar peraturan lalu-lintas.
"Kita telah terkesan ramai pengguna jalan raya telah mula melakukan kesalahan seperti menggunakan laluan kecemasan berikutan lambakan kenderaan di atas jalan dan kita memang akan ambil tindakan terhadap mereka.
"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa bersabar, merancang perjalanan dan tidak melakukan provokasi semasa memandu," ujarnya.
*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian