Macam-macam cara penagih buat elak dicekup penguat kuasa
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 27, 2020 13:02 MYT
Oktober 27, 2020 13:02 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah sanggup melarikan diri dalam keadaan bogel ketika diserbu anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda dalam serbuan di Merbok, di sini.
Bagaimanapun, dia berjaya ditahan dalam operasi Ops Cegah yang bermula pukul 9 hingga 11.30 pagi Selasa.
Dalam operasi sama, seorang lagi lelaki sanggup melarikan diri dalam keadaan berselut untuk mengelak daripada ditahan namun gagal apabila dia berjaya ditahan pihak berkuasa.
Menurut Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak, dalam operasi itu, seramai 15 individu disyaki penagih dadah yang terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita ditahan di 10 kawasan di daerah itu.
Beliau berkata, operasi dilakukan di Kampung Pengkalan Batu Lintang dan Taman Sri Pinang di Tikam Batu, Flat Payu Nahu 2, Kampung Belakang Klinik dan Kampung Tengkorak Batu di Bukit Selambau, Kampung Baru di Sungai Lalang.
Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 60 tahun dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemuanya positif dadah.
Arnida berkata, lapan daripadanya positif dadah jenis methampetamine dan morfin manakala lima lagi positif jenis methampetamine sementara dua orang lagi positif ganja.
Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.
Lima daripadanya akan ditahan reman di lokap AADK Kuala Muda manakala 10 yang lain dibebaskan dengan jaminan bersyarat.
#penagih dadah
#lari berbogel
#Agensi Anti Dadah Kebangsaan
#Ops Cegah
#Merbok
#Sungai Petani
#Kedah