Macam dalam filem Hollywood, barang kemas RM1 juta dirompak

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 5, 2019 04:36 MYT
Dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa barang kemas (salah satunya terlindung) dilanggar lori sebelum barang kemas bernilai lebih RM1 juta dilarikan di Ipoh pagi ini. Foto Astro AWANI
Bagaikan dalam filem Hollywood.
Demikian gambaran kejadian rompakan barang kemas bernilai lebih RM1 juta di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau, di sini, pagi ini.
Dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa empat beg berisi barang kemas dilanggar sebuah lori curi kira-kira jam 6.30 pagi, sebelum barang kemas itu dilarikan dengan sebuah kenderaan lain.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak ACP Anuar Othman berkata, kejadian hanya mengambil masa kira-kira lima minit.
Menurutnya, kedua-dua pemandu pacuan empat roda dikatakan dalam perjalanan membawa barang kemas daripada rumah majikan mereka, untuk dihantar ke Kelantan.
“Semasa berlanggar, pemandu lori telah turun membawa parang dan menyamun empat beg yang mengandungi barang-barang kemas yang dibawa oleh mangsa.
“Kerugian lebih kurang RM1 juta," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Anuar, suspek dalam kejadian ini merupakan empat individu yang bertopeng.
"Kita sedang menjalankan siasatan yang lebih lanjut.
“Kita juga telah gerakkan elemen-elemen di bawah untuk mengesan kenderaan yang mungkin ada lagi, iaitu kenderaan yang 'backing' semasa kejadian samun ini,” tambahnya.
Anuar berkata, lori yang digunakan di dalam rompakan itu dipercayai dicuri di Klang, Selangor, pagi ini.
Katanya, berdasarkan kejadian itu, polis percaya rompakan itu dilakukan dengan cukup terancang dan siasatan dijalankan untuk mengenal pasti segala kemungkinan.
Beliau memberitahu, salah seorang pemandu pacuan empat roda mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
#Anuar Othman #barang kemas #filem Hollywood #Ipoh #Jalan Chin Hwa #Kanun Keseksaan #kenderaan pacuan empat roda #lori curi #rompakan #Taman Chateau