MABA tamat perkhidmatan kontraktor produksi siaran langsung

Sinar Harian
November 26, 2019 17:00 MYT
Exco Jawatankuasa MABA tunduk memohon maaf selepas memberi penjelasan berhubung insiden tersebut pada sidang media di pejabat persatuan itu di ibu negara hari ini. - Foto Sinar Harian
Kontraktor produksi siaran langsung pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak Bawah 15 Ke-28 ditamatkan perkhidmatan setelah didapati cuai memaparkan Jalur Gemilang yang salah ketika nyanyian lagu Negaraku semalam.
Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Luo Choon Hann berkata, tindakan penamatan kontrak itu diambil selepas siasatan dilakukan pihaknya berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, pegawai eksekutif MABA yang menyedari kesilapan terbabit ketika berlangsungnya upacara perasmian itu dengan segera mengarahkan siaran langsung itu ditamatkan dan video dipadam.
"Terlebih dahulu, saya selaku presiden MABA, ingin memohon maaf kepada semua warganegara Malaysia. Saya ingin menjelaskan bahawa kesilapan ini terjadi apabila pihak kontraktor yang terlibat dengan produksi 'Iive stream' ketika pembukaan pertandingan bawah 15 tahun.
"Kami telah menyiasat kejadian ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak kontraktor," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Difahamkan MABA baru setahun menggunakan khidmat kontraktor berkenaan.
BACA: Memalukan! KBS akan lakukan siasatan terperinci - Syed Saddiq
BACA: Insiden bendera Malaysia bintang pecah lima: Polis buka kertas siasatan
Beliau berkata, MABA turut memohon maaf kepada semua rakan penaja dan pihaknya amat mengesali kesalahan serta kecuaian tersebut.
Menurutnya, Westports Malaysia juga tidak terlibat dalam perkara itu dan nama baik syarikat Westports hanya dipamerkan secara kekal di skrin dalam stadium.
"Saya juga berharap rakyat Malaysia akan mengampuni pihak kami dan memahami kesilapan ini adalah tidak disengajakan. Kami tidak berniat untuk tidak menghormati Jalur Gemilang dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia.
"Saya amat kecewa dengan kesilapan ini dan saya ingin menyerukan rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan kesilapan ini sebagai agenda politik atau perkauman," katanya.
#bendera bucu lima #bendera malaysia #bintang pecah lima #bola keranjang #Jalur Gemilang #Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak #Luo Choon Hann #MABA #MABA mohon maaf #Malaysia #Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia
;