MAB sahkan pesawat MH66 KL-Incheon berpatah balik, hadapi masalah teknikal

Umavathi Ramayah
September 2, 2024 17:20 MYT
MAB memaklumkan pesawat MH66 dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah teknikal. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (MAB) memaklumkan pesawat MH66 dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1.30 pagi selepas mengalami masalah teknikal.
Menurutnya, pesawat itu dikesan mengalami masalah itu pada sistem hidraulik sebaik sahaja berlepas dari KLIA.
Tindakan itu katanya, adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan susulan itu kesemua penumpang pesawat ditempatkan di hotel sementara penerbangan dijadualkan semula.
"Mereka akan menaiki pesawat MH66D yang dijangka berlepas pukul 8 malam ini (2 September)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Sementara itu kata MAB, penerbangan kembali menaiki pesawat MH67D pula dijadualkan semula untuk berlepas pada pukul 5:10 pagi waktu Incheon pada Rabu.
"Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal kami kekal sebagai keutamaan tertinggi kami," katanya.
Difahamkan, pesawat MH66 berlepas dari KLIA, pada pukul 12.01 malam Isnin ke Incheon, Korea Selatan berbanding jadual asalnya jam 11.30 malam Ahad sebelum berpatah balik dan selamat mendarat jam 12.34 pagi, Isnin.
Minggu lalu Kementerian Pengangkutan mendedahkan masalah komponen mekanikal merupakan antara isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal membabitkan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) seperti dilaporkan sejak akhir- akhir ini.
Selain itu, syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara pesawat MAB, MAB Engineering Services (MABES) juga didapati kekurangan pekerja mahir.
Sebelum ini dilaporkan beberapa insiden serupa berlaku membabitkan penerbangan MAS.
Antaranya, MH156 yang dalam perjalanan ke Jeddah pada 4 Ogos lalu terpaksa berpatah balik ke KLIA 1 susulan masalah teknikal.
#Korea Selatan #Malaysia Airlines #patah balik #masalah teknikal