MAB berjaya ketepikan saman berhubung MH370

Bernama
Oktober 30, 2018 22:55 MYT
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Malaysia Airlines Berhad untuk mengetepikan saman kecuaian difailkan waris 32 penumpang pesawat MH370. -Gambar hiasan
Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk mengetepikan saman kecuaian difailkan waris 32 penumpang pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
Hakim Azizul Azmi Adnan, bagaimanapun, berkata beliau akan memberi penghakiman kemudian.
Berikutan keputusan itu, MAB kini tidak lagi merupakan defendan dalam saman yang difailkan pada 3 Mac 2016 oleh para waris 32 penumpang, melibatkan 76 plaintif seperti yang dinamakan dalam saman berkenaan, yang terdiri daripada 66 rakyat China, lapan rakyat India dan dua warga Amerika Syarikat.
Mereka menamakan MAB, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendaan.
Plaintif terdiri daripada waris 26 rakyat China, lima warga India dan seorang rakyat Amerika Syarikat, antara penumpang pesawat yang hilang itu.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa kehilangan MH370 dan kematian 239 penumpang serta anak kapal itu adalah disebabkan kecuaian MAS, yang kini dikenali sebagai MAB.
Kata mereka, pada setiap masa material, MAS bertanggungjawab untuk mengendalikan dan mengurus penerbangan berkenaan serta memastikannya berada dalam keadaan layak terbang dan tiba dengan selamat ke destinasinya.
Mereka mendakwa, apabila gagal berbuat demikian, MAS telah memungkiri kontrak dengan penumpang MH370.
Plaintif juga berkata kehilangan MH370 berpunca daripada kecuaian DCA, ATM dan kerajaan serta mendakwa kesemua pihak itu berpakat dalam operasi dan penyiasatan, yang mengakibatkan kegagalan untuk mengesan pesawat berkenaan sejak awal, dan dalam menyembunyikan maklumat tentang pesawat yang hilang itu daripada orang ramai.
Mereka mendakwa, akibat daripada kesilapan tindakan defendan itu, mereka mengalami kerugian dan kerosakan, hilang kasih sayang dan penjagaan keluarga, hilang sokongan kewangan dan menderita kerana tekanan emosi dan trauma.
Mereka menuntut antara lain, ganti rugi khas, umum dan teruk, perbelanjaan perkabungan, faedah dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. –Bernama
#Azizul Azmi Adnan #Beijing dari Kuala Lumpur #DCA #Department of Civil Aviation Malaysia #Jabatan Penerbangan Awam #Malaysia Airlines #MH370 #saman kecuaian #waris penumpang
;