Maal Hijrah: Jangan jadikan media sosial tempat berbalah, sebar aib - Agong

Hasimi Muhamad
Julai 7, 2024 12:05 MYT
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat kebangsaan Tahun 1446H/2024M. -BERNAMA
PUTRAJAYA: Rakyat diingatkan agar tidak menjadikan media sosial sebagai tempat untuk berbalah atau bertengkar, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
"...jangan buka aib orang lain atau tularkan perkara yang memalukan, kerana ini semua akan menjadi punya perpecahan dan persengketaan," titah baginda sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat kebangsaan Tahun 1446H/2024M, di sini, pada Ahad.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke majlis itu, selain dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam konteks Malaysia, Sultan Ibrahim menambah perpaduan kaum dan agama yang kukuh adalah asas penting yang mesti dipelihara.
Justeru, Seri Paduka Baginda menyeru agar rakyat mengelakkan sebarang bentuk provokasi, fitnah, serta hasad dengki yang boleh merosakkan ikatan perpaduan yang telah lama terjalin.
"Kita juga perlu sentiasa menjaga keharmonian ini dengan sikap saling menghormati, saling memahami, serta bertolak ansur.
"Sebagai contoh, penggunaan pembesar suara di masjid dan surau yang kadang kala menimbulkan isu kepada penduduk setempat.
"Sebagai negara Islam, laungan azan ketika masuk waktu solat adalah wajar dibuat dengan kuat. Namun bacaan al-Quran, solat dan kuliyah agama haruslah dibuat untuk dalam kawasan masjid itu sahaja," titah Sultan Ibrahim.
Pada tahun baharu hijrah ini, baginda mengajak umat Islam merenung sejenak keadaan diri sendiri, serta kehidupan keluarga, dan masyarakat sekeliling.
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim berpesan kepada semua supaya membuka lembaran baharu dengan niat dan azam untuk berubah ke arah minda dan tindakan yang lebih positif.
Titah baginda lagi, sejarah penghijrahan Rasulullah SAW dari kota Mekah ke Madinah merupakan peristiwa yang sangat penting kepada umat Islam dan dijadikan sebagai permulaan tahun hijrah.
"Jika kita selami dan hayati peristiwa tersebut, hijrah itu bukan sekadar perpindahan fizikal tetapi lebih kepada perubahan mental dan spiritual untuk mencari kehidupan yang lebih baik dan mengharapkan keredhaan Allah SWT.
"Antara perkara utama yang menjadi asas kejayaan Islam di Madinah adalah penggubalan Piagam Madinah yang menjadi panduan hidup dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama," titah Sultan Ibrahim.
Dalam masa sama, sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini, baginda juga menyeru seluruh umat Islam agar meninggalkan tabiat buruk dan perkara yang bertentangan dengan al-Quran.
Umat Islam, titah baginda perlu menjadikan semangat hijrah sebagai landasan hidup masyarakat yang bersaudara dan bersatu padu serta terus berusaha untuk mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan negara.
#Sultan Ibrahim #Media sosial tempat sebar aib #Ma'al Hijrah 2024
;