Maal Hijrah: 'Jadikan 1 Hijrah 1444 titik perubahan' - Sultan Nazrin
Abd Razak Mohd Ali
Julai 30, 2022 12:40 MYT
Julai 30, 2022 12:40 MYT
IPOH: Tarikh 1 Hijrah 1444, hendaklah dijadikan titik tolak meningkatkan azam dan usaha, melakukan pembukaan minda, menyalakan semangat peralihan dan menyemarakkan semangat perubahan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, hari ini hendaklah dijadikan hari memeriksa dan mengaku kealpaan serta kecuaian lalu, lantas bertekad untuk tidak meneruskan pemikiran dan cara kerja yang sama sehingga terus mengulangi kesilapan serupa.
"Hari ini hendaklah dijadikan hari kita bijak mengenal pasti dan berani mengakui ancaman besar yang sedang melanda ummah, dan menghentikan sikap masih mahu menafikan kewujudan gajah yang tersergam di hadapan mata.
"Hari ini, hendaklah dijadikan hari menyuntik kesedaran ummah mengenal pasti ancaman semakin kritikal yang sedang melanda ummah, lalu memikirkan strategi berkesan secara bersungguh untuk menangani ancaman yang boleh menyebabkan ummah menanggung penderitaan dalam skala yang besar," titah baginda.
Baginda bertitah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak di Casuarina@Meru, Ipoh, pada Sabtu.
Titah Sultan Nazrin, dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, seluruh dunia, khususnya Malaysia telah menyaksikan pelbagai peristiwa, termasuk bencana alam dan serangan virus COVID-19.
Segala peristiwa itu, baginda bertitah, jangan hanya ditonton dengan mata kasar tetapi hendaklah dilihat dengan mata hati agar difahami yang tersirat, dijadikan pencabar minda untuk berfikiran secara lebih analitis, kritis dan kreatif.
Pada majlis itu, baginda turut menyampaikan anugerah kepada pemenang pelbagai kategori, termasuk Tokoh Maal Hijrah 1444 Hijrah, usaha tani sekolah dan usaha tani masjid terbaik.