Maal Hijrah: Ambil iktibar sifat sabar, gigih Rasulullah - Sultan Nazrin

Abd Razak Mohd Ali
Julai 7, 2024 11:50 MYT
Sultan Nazrin bertitah, meskipun mencapai kemenangan dan mencipta kejayaan, Nabi Muhammad kekal bersifat sederhana. - Astro AWANI
IPOH: Ummah perlu mengambil iktibar sifat sabar dan gigih Nabi Muhammad SAW ketika memperkenalkan sesuatu perkara baharu dengan memikirkan pendekatan strategik agar ia dapat disampaikan secara terang, jelas dan berkesan supaya dapat difahami seterusnya diterima.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perkara baharu perlu disampaikan melalui daya komunikasi dan penyampaian yang berkesan.
Titah baginda, manusia memerlukan fahaman yang jelas dan masa yang munasabah sebelum dapat menerima dan menghadamkan sesuatu perkara baharu.
“Setelah diangkat bertaraf rasul dan menerima wahyu Allah SWT, Baginda tidak gopoh untuk menyampaikan mesej Islam secara terbuka.
“Baginda juga tidak terburu-buru terus mengisytiharkan bumi Mekah ditadbir urus berpaksikan Islam.
“Di sebaliknya, Baginda terlebih dahulu meneliti suasana dan persekitaran, lalu memilih pendekatan paling sesuai, memperkenalkan Islam pada peringkat awal melalui gerakan dakwah yang dilakukan secara sulit; bermula dengan bilangan yang kecil, dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat rapat,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446 peringkat negeri Perak bertemakan “Minda Strategik Pencetus Ummah Dinamik” di Hotel Casuarina Meru, di sini, pada Ahad.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A'fifullah Shah; Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim.
Sultan Nazrin bertitah, meskipun mencapai kemenangan dan mencipta kejayaan, Nabi Muhammad kekal bersifat sederhana, mengamalkan sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi dan senantiasa insaf akan taraf Baginda hanya seorang hamba Allah.
Menurutnya, Rasulullah memilih perdamaian daripada persengketaan dan perundingan daripada perbalahan, meskipun kelihatan mengalah secara luaran untuk jangka masa pendek tetapi telah menghasilkan kemenangan secara dalaman untuk jangka masa panjang.
“Dalam dunia yang semakin menghadapi konflik dan dilanda perpecahan, strategi Rasulullah yang pernah menghasilkan kejayaan, hendaklah dikunjungi, dikaji, diterokai, difahami dan diadaptasi untuk menawarkan harapan baharu.
“Dengan mengkaji pendekatan Baginda, ummah boleh mendapat pengajaran dan panduan berharga untuk urusan-urusan penyelesaian konflik, perundingan, pembangunan masyarakat, serta untuk memperlengkapkan diri menghadapi cabaran semasa,” ujarnya.
Titah Sultan Nazrin, ketika melangkah masuk ke tahun baharu Hijrah 1446, sewajarnya ummah menjadikan panduan dan pedoman pemikiran strategik Rasulullah yang berperanan utama membolehkan syiar Islam berkembang dengan menakjubkan.
“Inisiatif Baginda yang memperkenalkan langkah-langkah inovatif berjaya menyatukan puak-puak yang berselisih menjadi ummah yang bersatu, serta kejayaan membentuk nilai kemanusiaan sejagat, wajib dijadikan pegangan oleh pemimpin semasa.
“Kepimpinan Baginda hendaklah dijadikan contoh teladan bagaimana kepimpinan yang berwawasan dan hikmah yang abadi berupaya melakukan transformasi meskipun berhadapan pelbagai dugaan, cabaran dan halangan,” titah baginda.
#Sultan Nazrin Muizzuddin Shah #mesej Islam #Maal Hijrah #perkara baharu
;