Maahad tahfiz terbakar, 14 pelajar sempat lari selamat diri

Adie Sufian Zulkefli
Julai 29, 2024 16:20 MYT
Operasi pemadaman dilakukan pihak bomba sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya dan anggaran kemusnahan adalah sebanyak 80 peratus. - Gambar/ JBPM
KUBANG PASU: Seramai 14 penghuni sebuah maahad tahfiz di Jalan Sanglang di Pekan Kodiang di sini, sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan asrama pusat pengajian berkenaan, awal pagi hari ini.
Semua mereka yang sedang tidur ketika kejadian tersedar selepas terdengar jeritan tenaga pengajar maahad itu dan segera berlari keluar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 5.34 pagi.
“Sepasukan anggota dari BBP Jitra dan turut dibantu sepasukan anggota BBP Bukit Kayu Hitam dan BBP Simpang Empat, Perlis tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya.
"Setibanya di lokasi, didapati bangunan dua tingkat kelas B di dalam maahad tahfiz itu sedang terbakar namun tiada mangsa dilaporkan berada di lokasi kebakaran.
"Bomba mengalami kesukaran kerana jalan ke lokasi agak sempit namun kami berjaya memadam api sepenuhnya jam 6.45 pagi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohd Bustan berkata, operasi pemadaman dilakukan sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya dan anggaran kemusnahan adalah sebanyak 80 peratus.
Beliau berkata, setakat ini punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.
#Maahad Tahfiz #kebakaran #Kodiang #nasib pelajar
;