Maahad Tahfiz Dar Al-Hikmah anjur Pasar Malam 1.0, kumpul dana selamatkan premis
Faida Rahim
Jun 22, 2023 23:40 MYT
Jun 22, 2023 23:40 MYT
KUALA LUMPUR: Maahad Tahfiz Intergrasi Dar Al-Hikmah (MTIDH) menganjurkan Pasar Malam Tahfiz (PMT) 1.0 di perkarangan sekolah di Taman Ampang Utama baru-baru ini bagi mengumpul dana pembelian tapak bangunan sedia ada.
Penasihat umum MTIDH, Ahmad Hasyimi Che Pa berkata, penganjuran Pasar Malam 1.0 merupakan inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MTIDH yang melibatkan kos RM3.5 juta.
“Selepas 23 tahun beroperasi di Ampang Utama, MTIDH yang menempatkan 120 pelajar perlu diselamatkan memandangkan pemilik premis mahu menjual lot tanah termasuk rumah ini.
“Penganjuran Pasar Malam Tahfiz 1.0 baru-baru ini adalah untuk mengutip dana bagi pembelian tapak bangunan sekolah sedia ada. Ia melibatkan kos sebanyak RM 3.5 juta yang mana bayaran permulaan RM1 juta perlu dijelaskan menjelang akhir bulan Jun ini manakala baki RM2.5 juta pula menjelang akhir tahun,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Tambahnya, warga MTIDH berharap untuk terus kekal di tapak sedia adaserta berusaha mengumpul dana mencukupi menjelang hujung bulan ini.
Katanya, MTIDH beroperasi dengan bantuan seramai 26 orang kakitangan.
“Amat besar harapan kami agar orang ramai dapat membantu dengan datang ke program anjuran MTIDH termasuk penganjuran Pasar Malam 1.0 baru-baru ini. Kami amat menghargainya.
“Dengan kunjungan lebih 500 orang tempoh hari, kami mendapat sokongan daripada beberapa jenama produk makanan termasuk Farm Fresh, MILO, Starbucks, Krispy Kreme dan lain lain yang turut menyumbangkan produk mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan kutipan dana juga melibatkan penambaikan pembangunan serta kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur sekolah.
“Tapak jualan juga dibuka kepada orang ramai yang ingin mengambil bahagian serta mempromosikan perniagaan.
“Sebanyak lima ke 10 peratus hasil jualan akan disumbangkan kepada pihak sekolah untuk kutipan dana menyelamatkan MTIDH,” katanya.