Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan! - Muhyiddin

Ridauddin Daud
Oktober 6, 2020 18:55 MYT
Muhyiddin berkata, petugas barisan hadapan daripada agensi-agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat-tempat awam untuk memastikan pematuhan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: “Maaflah jika Abah ini mula menggunakan 'rotan'!” tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, selepas ini hukuman kompaun akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19.
Tambahnya, petugas barisan hadapan dari agensi-agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat-tempat awam untuk memastikan pematuhan.
“Marilah kita hadapi perang menentang COVID-19 secara bersama. Ingat, kita pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan COVID-19 sebelum ini.
“Saya yakin dan percaya kita akan dapat bersama-sama melandaikannya sekali lagi. InsyaAllah, kita doakan mudah-mudahan kita semua akan menang akhirnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perutusan Khas Situasi Semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi beliau pada Selasa.
BACA: COVID-19: 691 kes baharu dilaporkan, majoriti di Penjara Alor Setar
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)
BACA: Kerajaan tak fikir untuk laksanakan PKP dalam waktu terdekat - PM
Dalam pada itu, Muhyiddin memberi jaminan bahawa usaha untuk mengesan kontak rapat adalah lebih mudah pada masa ini berbanding di peringkat awal penularan COVID-19 dahulu.
Jelasnya, ini kerana seramai 17 juta penduduk Malaysia telah menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Jika dikira jumlah pengguna aplikasi ini beserta tanggungan atau pasangan mereka, peratusan rakyat yang menggunakan aplikasi MySejahtera dianggarkan telah melebihi 60 peratus.
“Ini adalah satu perkembangan yang positif dalam usaha kita untuk menghadapi pandemik ini. Kita hidup dalam normal baharu. Menggunakan aplikasi MySejatera adalah antara normal baharu yang mesti kita budayakan.
“Jadi saya menyeru kepada saudara dan saudari yang masih belum mendaftar dengan MySejahtera supaya segeralah mendaftar,” katanya.
#PM #Muhyiddin #Muhyiddin Yassin #rotan #Abah #kompaun #SOP #Degil #frontliners #barisan hadapan #Perutusan Khas #Perdana Menteri #menteri #koronavirus #COVID-19 #coronavirus
;