"Maafkan saya kerana mengatasi krisis kewangan 1997 - 1998" - Tun M
Astro Awani
Oktober 29, 2019 14:53 MYT
Oktober 29, 2019 14:53 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana mengatasi krisis kewangan negara pada 1997-1998 dengan cara menguntungkan taikun.
Perdana Menteri mengakui terlibat dengan ciptaan pendekatan menolong taikun perniagaan untuk mengatasi masalah kewangan ketika itu menerusi kemaskini di blog peribadinya, chedet.cc.
Menurut beliau, ada baiknya juga sekiranya kerajaan tidak membantu golongan taikun ketika krisis itu dan membiarkan mereka serta perniagaan yang diusahakan rugi, gagal dan terpaksa ditutup.
"Dengan ini, semua kakitangan mereka (yang kaya dan tidak kaya) akan menganggur. Eksport kita akan menurun dan tidak akan ada pengaliran wang asing ke dalam negara kita.
"Kerajaan pula akan hilang cukai korporat dan cukai pendapatan kerana sebahagian besar cukai dibayar oleh taikun.
"Sebahagian besar dari dana kerajaan akan hilang. Operasi dan pembangunan negara tidak dapat diteruskan. Segala infrastruktur tidak dapat dibangunkan.
"Dalam keadaan kehilangan cukai ke atas taikun kita terpaksa mengenakan cukai kepada yang bukan ditakrif sebagai taikun.
"Setelah membayar cukai oleh bukan taikun, mereka akan masuk dalam golongan mereka yang miskin," kata Dr Mahathir panjang lebar.
Dalam catatan itu, Perdana Menteri turut menarik perhatian terhadap kejadian sekitar 70 tahun lalu apabila taikun dibunuh dan harta mereka dirampas di beberapa buah negara.
"Semua perniagaan dan perusahaan diambil oleh pemerintah dengan harapan 100 peratus dari keuntungan akan diperolehi oleh Kerajaan.
"Jika kita hendak, kita boleh halau keluar semua taikun ini. Jangan tolong mereka. Biar mereka bankrap. Kita akan tolong yang bukan taikun sahaja.
"Tetapi dengan apakah yang kita hendak tolong bukan taikun ini selepas semua taikun tidak dapat bayar cukai. Itu soalannya?
"Saya minta maaf kerana tindakan saya mengatasi krisis kewangan 1997-1998 menguntung taikun," kata Dr Mahathir mengakhiri catatan beliau.
#bankrap
#blog
#chedet cc
#cukai
#cukai korporat
#cukai pendapatan
#Infrastruktur
#krisis kewangan
#Mahathir Mohamad
#miskin
#pembangunan negara
#pendekatan menolong taikun
#taikun
#taikun dibunuh