"Maafkan kami, kecuaian ini tidak sepatutnya berlaku" - penganjur ekspo tatu minta maaf pada rakyat Malaysia

Afiq Ariffin
Disember 3, 2019 17:03 MYT
Acara Tattoo Malaysia Expo 2019 itu mencetuskan kontroversi apabila ia mempamerkan peragaan model tanpa seurat benang dan menerima kecaman ramai orang di laman sosial. -Foto Twitter@MSharif37139701
Selepas dikritik dan dikecam oleh segenap lapisan masyarakat, penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 tampil memohon maaf di atas peragaan separuh bogel yang terjadi pada acara berkenaan baru-baru ini.
Sambil mengakui peragaan menggemparkan itu tidak dirancang mereka, penganjur yang juga pengasas eksp berkenanan, Blackout Trading, Carlos @ Benny memikul sepenuhnya tanggungjawab di atas kejadian berkenaan.
“Kami ingin memohon maaf terhadap kejadian yang berlaku dalam acara Tattoo Malaysia Expo 2019 yang dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Peragaan separuh bogel yang diadakan pada acara itu sememangnya tidak dirancang oleh pihak kami dan kami memikul bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kejadian itu serta akan memastikan kejadian seperti itu tidak berlaku lagi di masa akan datang,” kata Carlos dalam kenyataan permohonan maaf pada Selasa.
Menurur Carlos lagi, tujuan utama acara itu diadakan adalah untuk mempromosikan industri pelancongan terutamanya dalam kategori seni dan budaya kerana tatu merupakan salah satu bentuk seni yang diamalkan di seluruh dunia termasuk juga Malaysia.
“Kami juga ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang terkesan dengan muat naik yang tular di media sosial itu.
“Kecuaian seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan kami telah gagal untuk menghormati masyarakat setempat,” kata beliau.
Syarikat berkenaan dalam kenyataan itu menjelaskan, acara berkenaan disokong oleh agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCeB).
Sehubungan itu, Carlos memberitahu, kesediaannya berhadapan dengan dengan sebarang tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka.
Acara Tattoo Malaysia Expo 2019 itu mencetuskan kontroversi apabila ia mempamerkan peragaan model tanpa seurat benang dan menerima kecaman ramai orang di laman sosial.
Kejadian berkenaan turut mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menzahirkan rasa terkejut.
BACA: "Apa nak jadi ni!" - Raja Permaisuri Agong terkejut kontroversi ekspo tatu
Dalam reaksi yang sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas penganjur kerana membenarkan peragaan separuh bogel diadakan.
"Saya difahamkan ia diadakan secara tertutup tetapi ia telah melanggar ketatasusilaan dan saya telah mengarahkan MyCeB untuk menyiasat perkara ini.
"Penganjuran acara bertaraf antarabangsa adalah baik untuk industri pelancongan negara tetapi bukan dengan cara penganjuran sebegini, ia tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan," kata Mohammadin.
BACA: Peragaan separuh bogel: Mustahil kerajaan akan luluskan - Menteri
#bogel #Kuala Lumpur #media sosial #mohon maaf #pelancongan #peragaan #rakyat Malaysia
;