MA63: Sudah ada tekad kerajaan pusat, namun perlu lebih ketelusan - Penganalisis politik

Fareez Azman
Januari 4, 2023 21:24 MYT
Menurut Penganalisis Politik, Profesor Dr Wong Chin Huat, pengumuman itu memberi petunjuk mengenai tekad politik kerajaan ketika ini menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak seperti diumumkan Perdana Menteri pada Rabu amat dinantikan
Menurut Penganalisis Politik, Profesor Dr Wong Chin Huat, pengumuman itu memberi petunjuk mengenai tekad politik kerajaan ketika ini menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Saya memang setuju dengan langkah desentralisasi ini, kerana selama ini ramai rakyat Sabah dan Sarawak merasakan diri mereka dianaktirikan dan mereka tidak diberi penghormatan untuk membuat keputusan sendiri.
"Jadi, dalam proses untuk mempercepatkan keputusan dan pelaksanaannya, saya rasa langkah ini adalah munasabah dan harus disokong.
"Tetapi (apa yang) harus kita perlu tingkatkan adalah tentang ketelusan supaya autonomi ini tidak akan disalah guna oleh pihak tertentu, yang akhirnya (mengakibatkan) rakyat Sabah dan Sarawak juga rugi," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.
Dari sudut keberkesanan dan kecekapan pembinaan infrastruktur di dua negeri itu, ujarnya, ia amat bertepatan sekali.
Bagaimanapun katanya, Sabah dan Sarawak diharapkan telus dalam sebarang maklumat di peringkat negeri sepertimana diambil oleh negeri Selangor dan Pulau Pinang sebelum ini.
"Perpindahan pembuat keputusan daripada Putrajaya kepada Kuching dan Kota Kinabalu, ini akan mempercepatkan keberkesanan dan kecekapan tapi tidak ada jaminan tentang ketelusan.
"Apa yang saya rasa mungkin perlu (ialah) Sabah dan Sarawak boleh mengambil langkah selepas langkah diambil kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang iaitu mengadakan ordinan kebebasan maklumat supaya rakyat boleh mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk memantau kerajaan," jelasnya lagi.
#MA63 #Sabah #Sarawak #kerajaan pusat
;