MA63: Setiap pemimpin ada pandangan masing-masing - Hajiji
Abdul Hafiz Mustadi
Julai 8, 2022 18:40 MYT
Julai 8, 2022 18:40 MYT
TUARAN: Datuk Seri Hajiji Noor enggan mengulas mengenai pelbagai pandangan para pemimpin tempatan Sabah mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelas Ketua Menteri Sabah itu, setiap pemimpin ada pandangan masing-masing mengenai MA63 dan beliau akan membuat kenyataan berhubung perkara tersebut bila tiba masanya.
"Soal itu (MA63) saya akan buat satu kenyataan apabila tiba masanya. (Setiap pemimpin) masing-masing mempunyai pendapat tentang MA63 ini.
"Saya tidak mahu memberi komen lanjut mengenai perkara ini. Saya akan buat satu komen ataupun kenyataan di masa akan datang," katanya.
Isu MA63 kembali hangat selepas Timbalan Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan mengutarakan cadangan rundingan baharu di antara Kerajaan Sabah dan Persekutuan mengenai hak-hak Sabah yang terkandung di dalam MA63.
Cadangan itu kemudiannya disangkal oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili yang menganggap idea itu sebagai dangkal dan membelakangkan semangat penubuhan Malaysia yang bertunjangkan kepada MA63.
Manakala bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pula mengatakan bahawa isu MA63 tidak akan timbul sekiranya Sabah diberikan peruntukan dan kemajuan yang setara dengan negeri-negeri di Semenanjung.
Terdahulu, Hajiji menyampaikan 158 ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di pekarangan Masjid Haji Noor di Kampung Serusup Tuaran, pada Jumaat.