MA63: Sabah, Sarawak terus terima hak sedia ada - PM

Harits Asyraf Hasnan
April 9, 2019 16:17 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan Artikal 1(2) pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Hadir sama TPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - fotoBERNAMA
Pindaan kepada Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan adalah selaras dengan Perjanjian Malaysia yang dimeterai pada tahun 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, pindaan itu juga tidak akan mengubah fungsi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah konsep Federalisme.
“Fasal 2 Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk menggantikan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan untuk menyatakan semua Negeri yang membentuk Persekutuan dengan mengembalikan, dengan ubah suaian, kedudukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
“Pindaan ini dibuat selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia yang dimeterai pada tahun 1963. Pindaan ini memenuhi aspirasi dan harapan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, dan semua rakyat Sabah dan Sarawak.
“Pindaan ini, dalam apa-apa cara, tidak mengubah fungsi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri di bawah konsep Federalisme,” katanya di ketika bacaan kali kedua pindaan rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Menyedari tuntutan daripada Sabah dan Sarawak, Dr Mahathir menyifatkan negeri Sabah dan Sarawak akan terus menerima hak-hak sedia ada yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, tegas Dr Mahathir, Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 akan diteruskan sehingga suatu kata sepakat yang memuaskan hati semua pihak diputuskan.
“Ini merupakan langkah pertama yang dilaksanakan. Dalam hal ini, seperti mana dewan yang mulia ini sedia maklum, Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 ini masih dalam proses perbincangan dan rundingan mengenai isu-isu pelaksanaan bagi Sabah dan Sarawak.
“Rundingan ini akan berterusan sehingga persetujuan dapat dicapai dan diterima baik semua pihak.
“Selanjutnya, setelah pindaan Perkara 1(2) ini dipersetujui, pindaan lain akan menyusul hasil rundingan yang dijalankan,” katanya.
#Dewan Rakyat #federalisme #Jawatankuasa Khas Kabinet #MA63 #Malaysia Baharu #menteri #Perdana Menteri #Perjanjian Malaysia 1963 #Perlembagaan Persekutuan #rakyat #Sabah #Sarawak
;