MA63: MP perlu mempunyai fahaman lebih jelas, bukan sekadar luaran

Isabelle Leong
Mei 2, 2019 07:30 MYT
Tengku Fuad Tengku Ahmad (kiri), Adam Huang (moderator) dan Zainnal Ajamain (kanan) pada forum 'Understanding Borneos Quest for Equal Partnership' di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya pada Khamis. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dijelaskan dengan terperinci dan bukan sekadar luaran sahaja agar pemahamannya dari sudut hak dan undang-undang mampu difahami rakyat, terutamanya Ahli Parlimen.
Penasihat MA63 kepada kerajaan Sabah, Zainnal Ajamain berkata, sebenarnya tidak menjadi masalah untuk mendapat sokongan dua pertiga di Parlimen jika wakil rakyat faham akan perubahan yang dibentangkan.
"Ramai yang bercakap mengenai MA63 tetapi pada kulitnya sahaja, tidak mendalam. Apa-apa perubahan pada Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, kita mesti mempunyai pemahaman.
"Jika kita faham secara luaran sahaja, kita mudah terpengaruh apabila orang lain bercakap mengenai perspektif lain.
"Tetapi jika kita faham, kita boleh berpegang teguh pada pendirian kita," kata Zainnal ketika menjadi panel pada forum 'Understanding Borneo’s Quest for Equal Partnership' di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya pada Khamis.
Beliau juga menegaskan sedia menghulurkan bantuan sekiranya Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak memerlukan penjelasan mengenai perkara itu.
"Saya di Sabah sedia Ahli Parlimen dari Sabah, dan sekiranya diperlukan, boleh membantu Ahli Parlimen dari Sarawak.
"Kita sama-sama dari negeri Borneo, bukan orang asing," ujarnya.
Penasihat Undang-Undang MySabah, Tengku Fuad Tengku Ahmad yang turut menjadi panel pada forum berkenaan memberikan tekanan kepada pentingnya mewujudkan kesedaran dalam kalangan Ahli Parlimen tentang perjuangan MA63.
"Jika Perlembagaan Persekutuan ini gagal dipinda buat kali kedua, ia merupakan kesalahan kami kerana kami gagal memberi keyakinan kepada satu sama lain untuk diterima Sabah dan Sarawak.
BACA: MA63: Pembentangan semula cadangan pindaan bergantung kepada usul
"Jika ia gagal disebabkan sabotaj yang disengajakan seperti tidak mengagihkan draf bil dengan lebih awal dan perkara seperti mendapatkan undang-undang untuk diluluskan terlebih dahulu oleh badan perundangan Sabah dan Sarawak.
"Jika ia disabotaj kerana terdapat perubahan pada minit terakhir atau pindaan tanpa perundingan, usah buat pindaan tersebut.
"Lakukannya secara berperingkat-peringkat, secara teratur dan telus. Pastikan semua sudah tahu apa akan berlaku dan tiada kejutan. Itu pengajaran yang kami belajar dari kali pertama. Mari kita buat dengan betul untuk kali kedua," kata Tengku Fuad.
Pada 9 April lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak mendapat majoriti dua pertiga untuk diluluskan Dewan Rakyat apabila pengundian dibuat secara belah bahagi.
#belah bahagi #Dewan Rakyat #gagal #MA63 #majoriti dua pertiga #Parlimen #Penasihat Undang-Undang MySabah #Perjanjian Malaysia 1963 #Perlembagaan Persekutuan #pindaan #Sabah #sabotaj #Sarawak #Tengku Fuad Tengku Ahmad #undian #Zainnal Ajamain
;