MA63: Kerajaan umum perkara dipersetujui pada 4 Jan - Fadillah

Bernama
Disember 24, 2022 11:54 MYT
Kerajaan akan mengumumkan beberapa perkara dipersetujui berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 4 Januari depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Gambar fail BERNAMA
KUCHING: Kerajaan akan mengumumkan beberapa perkara dipersetujui berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 4 Januari depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat mingguan Kabinet pada hari berkenaan.
Jelasnya, buat masa ini, jawatankuasa teknikal MA63 sedang meneliti dan memuktamadkan beberapa perkara termasuk penurunan kuasa kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Fadillah berkata, terdapat beberapa perkara di luar bidang MA63 yang telah diminta oleh Sabah juga Sarawak untuk dipertimbangkan kerajaan Persekutuan.
"Selain itu, ada beberapa perkara berkaitan MA63 yang perlu melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan akan mengambil masa untuk diselesaikan.
"Untuk perkara itu kita perlu tunggu persidangan Parlimen untuk dibentangkan dan diluluskan," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan biskut sempena perayaan Hari Natal di sini, hari ini.
Pada 5 Dis lepas, Anwar berkata, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi dipertanggungjawabkan untuk memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak terutamanya Perjanjian MA63.
Fadillah juga berperanan memastikan jurang ekonomi antara rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan dikurangkan.
Pada 21 Dis, Anwar berkata, kerajaan bersetuju memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri berkenaan.
Perdana Menteri berkata perkara itu diputuskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan MA63. - BERNAMA
#MA63 #Perjanjian Malaysia 1963 #Timbalan Perdana Menteri #Perdana Menteri
;