MA63: Anwar hanya tunai hak, bukan lebihkan Sabah, Sarawak - Abang Jo
Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 25, 2023 07:50 MYT
Januari 25, 2023 07:50 MYT
MIRI: Kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merealisasikan segala hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia (MA63) sepenuhnya adalah atas dasar tanggungjawab sebagai ketua kerajaan yang berintegriti.
Biarpun tindakannya itu dipersoalkan oleh beberapa ahli politik di Semenanjung tanah air, segala rundingan berkaitan MA63 terus dilaksanakan dengan damai dengan Sabah dan Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Anwar hanya meneruskan sebuah perjanjian yang telah dipersetujui oleh pemimpin negara terdahulu semasa pembentukan Malaysia.
“Sebenarnya beliau mahu memenuhi semua yang terkandung di dalam MA63, tetapi beliau dikritik oleh pihak di sebelah sana (Semenanjung) mengapa memberikan semua perkara tersebut kepada Sarawak.
“Ada ahli politik di sana yang mempersoalkan kenapa semua yang diminta Sarawak diberikan, maka saya kata semua itu terkandung di dalam perjanjian, dan ia hak Sarawak.
"Bersyukur kerana kerajaan sekarang ini mahu melihat perkara itu dan bekerjasama dengan kita.
“Anwar berkata perjanjian itu bukan dipersetujui oleh beliau.
"Apa yang dilakukannya kini adalah mewariskan apa yang tertulis dan dipersetujui di dalam MA63 oleh pemimpin-pemimpin negara terdahulu,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) bahagian Miri, di sini, pada Rabu.
Tambah Abang Johari, kestabilan politik di Sarawak membolehkan pemimpin tempatan memikirkan masa depan negeri dan membentuk kaedah baharu yang membawa angin perubahan terhadap sosioekonomi rakyat.
“Sedangkan Perdana Menteri juga telah mengiktiraf Sarawak sebagai antara negeri yang terkuat dalam soal ekonomi dan perlu dijadikan contoh kepada Semenanjung Malaysia bagaimana Sarawak merangka transformasi ekonomi baharu.
“Transformasi ini adalah kejayaan bersama, kalau di belakang saya (GPS) bergaduh, saya barangkali tidak mampu mengubah negeri ini. Tetapi belakang tidak ada bergaduh, SUPP PBB, PRS dan PDP juga tidak gaduh, semua jadi senang kita bangunkan negeri Sarawak.
“Adalah penting untuk kita memelihara budaya dan cara Sarawak bekerja serta mentadbir sebagai sebuah kerajaan yang kuat.
"Ini adalah kejayaan daripada pemimpin Sarawak terdahulu dan kemudian saya ada melakukan se\dikit perubahan dalam polisi ekonomi menjadikan apa kita hari ini,” ujarnya lanjut.