M'sia tidak percaya doktrin pencegahan nuklear bagi capai keamanan, keselamatan - Najib
Bernama
September 26, 2013 07:00 MYT
September 26, 2013 07:00 MYT
Malaysia tidak percaya kepada doktrin pencegahan nuklear sebagai satu cara untuk mencapai keamanan dan keselamatan antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini Khamis.
Beliau berkata kewujudan senjata nuklear hanya berfungsi untuk menggalakkan percambahan.
Najib menyampaikan kenyataan tersebut pada Mesyuarat Peringkat Tertinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelucutan Senjata Nuklear di ibu pejabat PBB di sini.
"Saya ingin menekankan keperluan untuk semua negara meningkatkan usaha bagi pelucutan sama sekali kesemua senjata nuklear di bawah kawalan antarabangsa.
"Dalam hal ini, saya juga ingin mengulangi kebimbangan Malaysia secara mendalam terhadap kemajuan yang perlahan dalam pengurangan senjata nuklear strategik serta pemodenan dan menaik taraf pangkalan nuklear.
"Kebanyakan daripada senjata ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Oleh itu, delegasi saya ini menggesa negara-negara dengan senjata nuklear dalam keadaan amaran tinggi supaya mengurangkan operasi kesiapsediaan sistem mereka yang mana kami percaya adalah satu langkah kecil tetapi wajar untuk ke hadapan," katanya.
Najib berkata Persidangan Semakan Pihak-Pihak kepada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear 2005 perlu meneruskan momentum ke arah kerjasama yang lebih erat dalam mencapai objektif perjanjian.
Oleh itu, beliau berkata ia adalah kebimbangan besar kepada Malaysia apabila persidangan penubuhan Zon Bebas Senjata Nuklear di Timur Tengah masih belum diadakan.
Perdana Menteri menggesa Setiausaha Agung PBB serta negara-negara berkenaan mengadakan persidangan tersebut pada peluang terawal mungkin dengan penyertaan aktif semua negara di rantau itu.
"Pertemuan ini dengan memberi tumpuan kepada usaha mempelopori Zon Bebas Senjata Nuklear di Timur Tengah yang merupakan langkah yang betul ke arah keamanan dan keselamatan berterusan di rantau yang bergolak itu," katanya.
Najib berkata Malaysia menyokong pendekatan kemanusiaan kepada pelucutan senjata dan menyertai Persidangan Antarabangsa Olso 2013 Mengenai Kesan Senjata Nuklear Terhadap Kemanusiaan serta menyokong kenyataan bersama mengenai isu mesyuarat persediaan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear.
"Sebelum saya dapat membuat kesimpulan, saya percaya ia akan menjadi tepat pada masanya untuk mengimbau Model Konvensyen Senjata Nuklear yang dikemukakan buat pertama kali kepada Perhimpunan Agung oleh Malaysia dan Costa Rica pada 1997.
"Cadangan model konvensyen itu mencadangkan penubuhan undang-undang, teknikal dan politik dalam mewujudkan dunia yang bebas senjata nuklear.
"Ia adalah kepercayaan kami...mungkin ia tidak sempurna tetapi adalah cubaan yang paling dekat ke arah mewujudkan sebuah instrumen yang sah di sisi undang-undang, disahkan dan dikuatkuasakan.
"Instrumen itu pada akhirnya dapat mewujudkan larangan komprehensif dan pemusnahan semua senjata nuklear dengan pengawasan dan kawalan yang berkesan," katanya.
Beliau berkata Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota lain mengenai Model Konvensyen atau apa-apa cadangan lain dengan tujuan utama menghapuskan senjata nuklear.
"Kami menyeru semua negara untuk memenuhi kewajipan ini dengan memulakan rundingan pelbagai hala yang membawa kepada tamatnya konvensyen senjata nuklear pada tarikh secepat mungkin," katanya,.
Najib, yang tiba di sini Rabu selepas lawatan tiga hari ke San Francisco, turut menandatangani Perjanjian Senjata PBB di sini dengan disaksikan oleh Setiausaha Agung Bahagian PBB Bagi Hal Ehwal Undang-Undang dan Peguam PBB, Miguel de Serpa Soares.