M'sia sokong usaha tangani perhambaan zaman moden
Bernama
September 21, 2016 13:37 MYT
September 21, 2016 13:37 MYT
Malaysia senada dengan negara-negara seperti Britain mengenai keperluan untuk membanteras penyeludupan manusia dan perhambaan zaman moden, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, beliau berkata Kuala Lumpur telah mencadangkan agar Britain menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai perhambaan zaman moden semasa Perbincangan Meja Bulat Para Pemimpin, wakil-wakil badan antarabangsa dan pakar-pakar yang dijemput oleh Perdana Menteri Britain Theresa May di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di sini.
"Ada keperluan untuk usaha kolektif serantau dan antarabangsa menangani masalah pemerdagangan manusia dan perhambaan zaman moden secara lebih berkesan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini Selasa malam.
Selain Ahmad Zahid, perbincangan meja bulat itu turut dihadiri Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull, Presiden Nigeria Muhammadu Buhari, Perdana Menteri Norway Erna Solberg, Presiden Slovakia Andrej Kiska serta badan-badan berkaitan dan organisasi bukan kerajaan.
'Perhambaan zaman moden', 'pemerdagangan manusia' dan 'penyeludupan manusia' merupakan istilah yang dirujuk sebagai perbuatan merekrut, melindungi, pengangkutan, menyediakan atau mendapatkan seseorang bagi buruh paksa atau perbuatan seks komersial melalui kekerasan, penipuan atau paksaan. - BERNAMA