M For Malaysia: Cinta dua insan yang sudah berumur - Marina Mahathir

Hasimi Muhamad
September 10, 2019 04:59 MYT
Filem dokumentari M for Malaysia bakal menemui penonton pada 12 September ini. - Astro AWANI
Ini juga kisah cinta antara dua individu yang sudah mencecah usia 94 tahun!
Demikian yang diluahkan oleh anak sulung Perdana Menteri, Datin Seri Paduka Marina Mahathir mengenai filem dokumentari M for Malaysia yang bakal menemui penonton pada 12 September ini.
Menurut Marina yang juga Penerbit Eksekutif M For Malaysia, ibu bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menzahirkan kasih sayang mereka demi menyelamatkan negara.
"Cinta antara dua orang yang sudah berumur. Tetapi bukan sahaja saling mencintai, bahkan cinta kepada negara.
"Saya rasa ia juga cinta rakyat Malaysia terhadap negara sendiri yang ingin membuat perubahan supaya negara kita lebih maju dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas tayangan gala di Golden Screen Cinemas (GSC) Kuala Lumpur, malam tadi.
BACA: 'M Untuk Malaysia', dokumentari istimewa buat rakyat Malaysia
Turut hadir adalah Perdana Menteri, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz serta ramai lagi.
Mengulas lanjut, Marina percaya dokumentari tersebut merupakan cerminan perpaduan dan pembaharuan yang diinginkan oleh rakyat Malaysia.
"Kita boleh nampak dalam filem ini, pelbagai orang (kaum), semuanya keluar (mengundi), untuk meminta pembaharuan dan sebagainya.
"Jadi, nampak pada saat itu (sebelum Pilihan Raya Umum ke-14), kita semua bersatu padu. Dan filem ini akan mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pada detik itu mereka semua bersama.
"Dan sekarang kita harus jangan membenarkan sesiapa memecah-belahkan (negara)," ujarnya.
BACA: Dokumentari 'M for Malaysia' bakal ke Busan International Film Festival!
Selain Marina, dokumentari ini turut diarahkan dan diterbitkan oleh Dian Lee, Ineza Roussile serta Penerbit Kreatif, Ruby Yang.
Dokumentari 90 minit ini menceritakan pembentukan kerajaan Pakatan Harapan dan ia merupakan julung kali selepas 60 tahun, Barisan Nasional (BN) berjaya ditumpaskan.
BACA: 'M for Malaysia' sebuah ingatan untuk menteri-menteri PH
Dokumenteri tersebut mendapat sambutan menggalakkan di pelbagai lokasi antarabangsa selepas tayangan perdananya di CAAMFest In San Francisco, DocEdge di New Zealand, selain bakal ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Busan pada Oktober ini.
#Barisan Nasional #bersatu padu #cinta #cinta kepada negara #keluar mengundi #M for Malaysia #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #pecah belah #pembaharuan #pilihan raya umum #PRU14
;