M K Land serah kompleks pasar dan gerai Taman Bunga Raya kepada MPHS
Astro Awani
Oktober 31, 2024 11:10 MYT
Oktober 31, 2024 11:10 MYT
BUKIT BERUNTUNG: M K Land Holdings Berhad (M K Land), sebuah nama terkemuka dalam pembangunan hartanah, secara rasmi menyerahkan Kompleks Pasar, Gerai dan Tapak Penjaja yang telah siap dibangunkan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor,
Awaluddin Zakaria, pada Rabu.
Terletak dalam perbandaran Taman Bunga Raya, fasiliti baharu ini menambah lagi infrastruktur berpusatkan komuniti yang telah dibangunkan sejak perbandaran ini dibangunkan pada 1996.
Direka untuk menawarkan keseimbangan antara perumahan kos rendah, kos sederhana, dan pasaran terbuka, Taman Bunga Raya kini didiami oleh lebih kurang 45,000 penduduk, dengan kapasiti jangkaan untuk menampung sehingga 70,000 penduduk apabila pembangunan selesai sepenuhnya.
“Penyerahan ini menandakan komitmen teguh kami dalam membina komuniti yang lestari dan ia mencerminkan kepercayaan asas kami bahawa pembangunan hartanah bukan hanya tentang membina rumah dan perbandaran.
“Kami melihatnya sebagai tanggungjawab kami untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong kegiatan ekonomi setempat, budaya, dan ikatan kemasyarakatan.
“Besar harapan kami agar kerjasama baik ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun yang mendatang, untuk manfaat dan kesejahteraan komuniti di perbandaran Taman Bunga Raya ini ,” kata Ahmad Soalahuddin
Pembangunan projek ini telah dimulakan pada 25 Februari 2023 dan siap pada 8 September 2024, dengan bimbingan dan kolaborasi reka bentuk daripada MPHS, menggabungkan seni bina moden kontemporari dengan ruang terbuka yang luas, bagi memudahkan operasi penyelenggaraan serta memberikan aksesibiliti dan pengalaman pengguna yang lebih baik di kompleks ini secara keseluruhannya.
Susun atur lot perniagaan ini juga telah diatur secara strategik bagi memudahkan operasi harian peniaga serta penyelenggaraan jangka panjang oleh MPHS.
Konsep terbuka yang luas membolehkan penggunaan yang efisien dan memastikan aksesibiliti, seterusnya meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan.
Tambah Ahmad Soalahuddin lagi: “Projek ini adalah salah satu usaha jangka panjang kami di bawah objektif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan menyediakan kemudahan perbandaran lengkap yang tidak memerlukan komuniti di kawasan perbandaran ini untuk memandu jauh bagi membeli barangan basah dan runcit dan sekali gus mengurangkan impak pelepasan karbon terhadap alam sekitar.”
Bangunan gerai meliputi keluasan 7,059 kaki persegi dengan 16 unit gerai berkeluasan 105 kaki persegi setiap satu, serta dilengkapi laman tengah, bilik penyelia, bilik pengumpulan sampah, surau dan kemudahan tandas.
Bangunan pasar pula meliputi keluasan 10,314 kaki persegi, dengan 20 lot kecil berkeluasan 140 kaki persegi setiap satu, serta bilik penyelia, bilik stor, bilik pengumpulan sampah, surau, dan tandas.
Selain itu, syarikat pemaju ini juga turut menyediakan 130 lot dalam kawasan kompleks untuk peniaga penjaja, dalam usaha untuk menyokong perniagaan kecil vendor-vendor tempatan di kawasan perbandaran ini.
Inisiatif terbaharu M K Land mencerminkan peranannya sebagai pemaju yang bertanggungjawab, membantu menyokong dan memperkasakan komuniti di Hulu Selangor serta memberi kuasa kepada peniaga tempatan dan perniagaan kecil dengan ruang moden dan lestari di perbandaran Taman Bunga Raya.