M. Daud Kilau unik, jahit sendiri labuci baju belakang pentas - DJ Dave

Ridauddin Daud
Disember 19, 2023 14:10 MYT
DJ Dave (baju putih) ketika menziarahi jenazah Allahyarham M. Daud Kilau di Masjid Tuminah Hamidi, Selasa. - Foto Astro AWANI
BAGAN DATUK: Allahyarham Datuk M. Daud Kilau merupakan penyanyi dengan keunikan tersendiri yang tiada siapa mampu menandingi.
Demikian respons rakan seperjuangan arwah, Datuk DJ Dave ketika berkongsikan keperibadian penyanyi legenda itu kepada media di Masjid Tuminah Hamidi, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, arwah sentiasa teliti ketika membuat persembahan terutama berkaitan bajunya.
“Bila dia naik atas pentas, dia bawa bajunya sendiri. Bajunya memang ada sequin (labuci), dia sendiri jahit. Kadangkala di belakang pentas dia jahit.
“Arwah ini ada satu keunikan yang orang tak dapat tandingi. Dia selalu kata saya nak buat persembahan ini dengan baju ini, saya tak nak baju lain.
Pengebumian jenazah Allahyarham Datuk M. Daud Kilau
“Kalau ada pembantu bawa baju lain, dia tak mahu, nak pakai baju dia saja sebab dia dah buat kerja, dengan sequinnya, kerja belakang pentas.
“Itulah satu-satunya perkara yang saya tak dapat lupa,” katanya ketika ditemui di masjid selepas menziarahi jenazah M. Daud.
Menurutnya, kali terakhir arwah menghubunginya adalah pada bulan lepas dan turut mengunjunginya di rumah pada Julai tahun lepas.
“Saya pernah datang sini, rasanya Julai tahun lepas. Arwah memang gembira dengan kehadiran kami. Dia keluarkan semua bajunya, beri juadah kampung yang sangat sedap.
Suasana hiba, sayu selubungi Masjid Tuminah Hamidi
“Beliau dalam kesakitan, arwah menyanyi untuk kami, terhibur kami semua. Itu kali terakhir saya dengar suara beliau sebagai penyanyi,” ujarnya.
Katanya lagi, tahun ini beliau ada berjumpa dengan arwah dan sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Tanah Air, bantuan telah disampaikan kepada arwah dan keluarganya.
“Tahun ini saya pernah datang sekali. Dia masih boleh bercakap, boleh jalan tapi dia kata letih.
“Kami di Yayasan telah bantu arwah dan keluarga. Sudah genap tiga tahun kita beri RM500 sebulan sebagai pencen kepada keluarga arwah,” katanya.
DJ Dave menyifatkan pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat industri seni suara negara.
#M Daud Kilau #DJ Dave #jahit sendiri labuci #Masjid Tuminah Hamidi
;