LZS terus perkasa pembangunan pendidikan generasi kedua asnaf
Bernama
Disember 28, 2022 11:10 MYT
Disember 28, 2022 11:10 MYT
SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus memperkasa rancangan pembangunan pendidikan untuk generasi kedua keluarga asnaf sejak 2017 yang dilihat sebagai kumpulan berpotensi membawa keluarga mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.
Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS Mohd Nurhisyam Shamsir berkata selain menyantuni golongan asnaf di negeri itu, pihaknya turut memberi dorongan supaya mereka lebih berdikari dan tidak bergantung harap kepada bantuan zakat semata-mata.
Justeru katanya, generasi kedua asnaf dilihat berpotensi untuk mengubah nasib kelompok itu sekiranya diberi peluang pendidikan, persekitaran pembelajaran kondusif serta pembentukan jati diri dan kemahiran yang relevan dengan cabaran masa kini serta masa depan.
Beliau berkata untuk tujuan itu LZS telah mengendalikan program-program berkaitan pembangunan pendidikan dalam kalangan asnaf melalui satu jabatan khusus dengan jumlah peruntukan sebanyak RM75 juta tahun ini.
"Kita nampak pendidikan ini memainkan peranan penting kerana ia berkaitan dengan aspek komuniti sosial yang kita perlu akui jika mereka mempunyai kebolehan atau kemahiran, mereka akan ada masa depan lebih cerah," katanya kepada Bernama.
Mohd Nurhisyam berkata program pembangunan pendidikan dilaksanakan bagi generasi kedua asnaf dibahagikan kepada dua kategori iaitu peringkat sekolah rendah dan menengah serta pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
Di peringkat sekolah, LZS menyediakan kemudahan seperti Kompleks Baitul Hasanah di Kampung Perepat, Klang iaitu asrama menempatkan anak-anak asnaf di Selangor bagi menyediakan persekitaran kondusif supaya dapat belajar dan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Bagi memantapkan lagi pemerkasaan pendidikan di peringkat tersebut, Mohd Nurhisyam berkata LZS sedang dalam perancangan untuk meneruskan semula Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ) melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mengadakan program-program bersama asnaf di sekolah tersebut.
"Kita menyasarkan dua sekolah iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah di setiap daerah di Selangor menyertai program ini dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM1.5 juta dan mereka akan jalankan program-program yang sesuai seperti program motivasi, tuisyen dan sebagainya," katanya.
Mohd Nurhisyam berkata LZS juga menyantuni asnaf yang melanjutkan pengajian di menara gading dengan menaja lebih 20,000 pelajar sejak 2010 untuk pengajian di dalam dan luar negara serta lebih 7,000 pelajar masih dibiayai ketika ini menerusi program Bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi.
Katanya, LZS akan menggandakan usaha untuk menangani isu keciciran dalam pelajaran dan literasi ekoran kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengubah landskap pembelajaran.
"Oleh itu, sebahagian perancangan kita bermula tahun hadapan secara intensif sehingga 2025 dikhususkan menangani perkara tersebut sebagai langkah intervensi sebelum ia menjadi isu nasional," katanya.
-- BERNAMA