LZS buat laporan polis lelaki cuba serang kakitangan bertugas

Astro Awani
Ogos 19, 2019 15:38 MYT
LZS menafikan tuduhan berunsur fitnah yang ditularkan oleh seorang individu sehingga berpotensi menjejaskan nama baik institusi itu.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuat satu laporan polis susulan insiden seorang lelaki yang bertindak agresif sewaktu melakukan urusan di sebuah cawangan institusi itu di Klang Sentral baru-baru ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dalam satu kenyataan media pada Isnin, mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga nama baik institusi zakat.
“Laporan polis telah dibuat bagi menjaga keselamatan kakitangan serta pelanggan yang berurusan di cawangan dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
LZS turut menafikan tuduhan berunsur fitnah yang ditularkan oleh seorang individu sehingga berpotensi menjejaskan nama baik institusi itu.
Mengulas berhubung insiden yang berlaku, sebuah video tular apabila seorang lelaki yang bertindak agresif terhadap pegawai di cawangan LZS baru-baru ini.
“Pada 15 Ogos 2019, individu itu telah datang ke cawangan LZS di Klang Sentral dengan tujuan membuat semakan status permohonan bagi rakan beliau yang turut bersamanya.
“Lelaki tersebut dan keluarganya adalah asnaf yang sedang menerima pelbagai bantuan zakat dari LZS.
“Namun beliau telah bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba melakukan serangan fizikal kepada kakitangan LZS,” jelasnya.
Justeru, LZS menyeru kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan merujuk terus kepada LZS untuk sebarang penjelasan.
#Ketua Pegawai Eksekutif LZS #Klang Sentral #Lembaga Zakat Selangor #LZS #saipolyazan mat yusop