LZS beri bantuan RM600 kepada setiap keluarga mangsa banjir Ampang
Bernama
November 25, 2021 07:15 MYT
November 25, 2021 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memberi bantuan sebanyak RM600 kepada setiap keluarga bukan asnaf yang terkesan akibat bencana banjir kilat di Lembah Jaya Utara, Ampang baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (LZS) Saipolyazan M. Yusop berkata bantuan dalam bentuk pembaikan rumah mengikut nilai kerosakan yang mencecah nilai maksimum RM31,000 juga akan diberikan kepada keluarga asnaf yang berdaftar dengan LZS.
"Setakat hari ini, kami akan memberi bantuan barangan kering kepada 70 rumah di kawasan ini dan kami juga bercadang untuk menghantar kepada 120 rumah lagi.
"Sebanyak 400 rumah terkesan susulan bencana banjir yang berlaku di Lembah Jaya, Ampang pada 22 Nov lepas dan sebanyak 220 rumah telah berdaftar di LZS bakal menerima bantuan sewajarnya," katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.
Selain itu, katanya LZS kini sedang mengumpul data dan maklumat berkaitan mangsa yang terjejas dengan kerjasama pejabat daerah bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya meringankan beban mangsa terlibat.
"Bagi asnaf berdaftar dengan LZS yang terlibat bencana banjir kilat ini, mereka boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan yang bersesuaian dapat disalurkan kepada mereka," katanya menambah bantuan yang dihulurkan bergantung kepada syarat dan kelayakan penerima.
Hujan lebat lebih tiga jam pada lewat petang itu, mengakibatkan beberapa kawasan di Ampang termasuk Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan dilanda banjir kilat mengakibatkan beberapa rumah digenangi air serta kenderaan mengalami kerosakan.
-- BERNAMA