LZNK hantar 12,000 kampit beras untuk mangsa banjir di Johor

Bernama
Mac 12, 2023 04:10 MYT
Tengku Sarafudin (dua, kiri) berkenan berangkat pada Majlis Pelepasan Konvoi Misi Bantuan Banjir Johor di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, 12 Mac 2023. -- fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menghantar 12,000 kampit beras bernilai RM153,600 ke Johor bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir yang melanda negeri itu ketika ini.
Sumbangan itu yang dihantar menggunakan dua treler akan diserahkan kepada kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ).
Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bersama Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkenan menyempurnakan pelepasan konvoi membawa sumbangan itu yang turut disertai beberapa kenderaan lain, di pekarangan Stadium Darul Aman di sini semalam.
Tengku Sarafudin bertitah semua pihak termasuk badan korporat perlu berganding bahu membantu negeri yang ditimpa musibah banjir bagi meringankan beban mangsa.
"Kalau ada negeri dilanda bencana, bagi negeri yang tak ada bencana mana yang kita boleh tolong kita patut tolong...sebelum ini macam di Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir kita pun tolong, sekarang ini pula banjir teruk di Johor, jadi kita pun perlu tolong untuk kurangkan beban mangsa.
"Mana syarikat yang boleh tolong saya harap mereka dapat bantu...tak kira dalam bentuk apa pun sama ada kewangan, makanan, barang elektronik dan kalau ada rumah yang rosak kita juga boleh tolong baiki. Kita nak kurangkan beban penduduk yang terjejas," titah baginda.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata sumbangan kali ini turut disertai lima syarikat korporat yang menyumbang 6,200 botol kicap dan sos, 1,200 peket kopi, 2,000 peket mi segera dan 1,224 botol air mineral.
"Bantuan yang disalurkan ini sebagai tanda solidariti LZNK dengan MAIJ. Seperti yang disarankan Raja Muda Kedah, kita galakkan agar syarikat korporat pun ikut membantu tidak kira dari segi kewangan mahupun barangan, ikut keupayaan masing-masing," katanya.
-- BERNAMA
#LZNK #banjir johor #kampit beras #Lembaga Zakat Negeri Kedah
;