Lynas tidak dibenar hasilkan sisa radioaktif tambahan selepas Julai
Astro Awani
Februari 15, 2023 16:56 MYT
Februari 15, 2023 16:56 MYT
KUALA LUMPUR: Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) tidak dibenar menjalankan sebarang aktiviti yang akan menghasilkan sisa radioaktif di negara ini selepas Julai ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, selepas permintaan Lynas untuk menggugurkan empat syarat berkaitan aktiviti projek itu ditolak.
Menurut Lih Kang perkara itu dimaklumkan secara rasmi oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (Lembaga) kepada Lynas Sdn Bhd pada 13 Februari lalu.
Lembaga juga jelas Lih Kang meluluskan pembaharuan lesen Lynas untuk tempoh tiga tahun bermula 3 Mac 2023 sehingga 2 Mac 2026.
"Justeru, semua syarat lesen yang telah diputuskan sebelum ini pada 3 Mac 2020 hingga 2 Mac 2023 perlu terus dipatuhi oleh Lynas.
"Sejak beroperasi di Malaysia pada tahun 2012, Lynas telah menghasilkan kira-kira 1.08 juta metrik tan sisa radioaktif (residu WLP).
"Jumlah sisa ini dijangka akan mencecah 1.2 juta metrik tan sehingga Julai 2023," katanya pada sidang media di Parlimen pada Rabu
Beliau menjelaskan, sementara mendapat lanjutan lesen selama 3 tahun, Lynas perlu mematuhi syarat yang telah dikenakan sejak Mac 2020 supaya aktiviti pemecahan dan peresapan (C&L) yang menghasilkan sisa radioaktif akan dijalankan di Australia dan tiada aktiviti C&L dilakukan di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang selepas bulan Julai 2023.
Lih Kang menegaskan, kerajaan komited dalam mewujudkan persekitaran mesra perniagaan dan memahami kepentingan industri nadir bumi.