Lynas sudah melabur RM2.7 bilion di Malaysia
Bernama
Disember 10, 2016 08:37 MYT
Disember 10, 2016 08:37 MYT
Lynas Corporation Ltd, yang setakat ini melabur lebih RM2.7 bilion di Malaysia, akan terus membelanjakan lebih RM300 juta setahun di negara ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Amanda Lacaze.
Komitmen perbelanjaan modal itu akan digunakan untuk membeli bahan kimia, kelengkapan mekanikal, hartanah, kilang dan kelengkapan serta membayar kontrak penyumberluaran.
"Kami juga akan terus melabur dalam pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan," katanya pada perbincangan meja bulat media di sini pada Jumaat.
Lacaze berkata, kilang pemprosesan nadir bumi yang kontroversi, Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) dekat Kuantan, Pahang beroperasi dengan selamat dan positif selama empat tahun, pada mulanya di bawah lesen operasi sementara.
Syarikat perlombongan Australia itu juga berjanji untuk menjadi penyumbang berharga kepada masyarakat tempatan untuk tahun-tahun akan datang.
"Tidak ada peningkatan dalam tahap radiasi di kilang tersebut atau di kawasan sekitarnya. Malah semua pelepasan adalah di bawah had selamat yang dibenarkan," katanya.
Lacaze berkata, syarikat itu mengamalkan ketelusan dan keterbukaan berkaitan maklumat mengenai operasinya.
"Kami mematuhi semua keperluan lesen dan standard kawal selia. Maklumat mengenai perlombongan dan kilang kepekatan di Mount Weld, Australia Barat dan kemudahan penapisan di Kuantan dibuka kepada orang ramai dan pihak berkuasa berkaitan," katanya.
Dalam pada itu, Lacaze berkata, semua halangan perundangan kepada operasi telah diketepikan, selepas permohonan dan rayuan.
Pada September 2016, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia telah memperbaharui Lesen Peringkat Operasi Penuh kepada Lamp Lynas selama tiga tahun sehingga September 2019.
Pembaharuan itu berikutan kajian rapi oleh AELB dan beberapa badan kawal selia bebas lain di Malaysia.
Kilang nadir bumi di Kuantan menerima banyak kritikan dari pertubuhan bukan kerajaan serta orang ramai yang bimbang akan pencemaran alam sekitar ketika mula dibuka.
Mengenai inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, Lacaze berkata, syarikat itu adalah anggota aktif masyarakat tempatan dengan mengambil lebih 600 pekerja tempatan.
Inisiatif berkenaan termasuk program akademik, alam sekitar dan sukan.
"Semua pegawai kami tinggal di Kuantan dan kami terlibat secara aktif dalam pelbagai program sokongan masyarakat," katanya.
-- BERNAMA