Lynas pelawa pelawat ke lojinya - CEO
Bernama
November 11, 2018 07:00 MYT
November 11, 2018 07:00 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Amanda Lacaze pada Ahad mempelawa mana-mana pihak yang ingin mendapatkan gambaran lebih jelas tentang operasi syarikat itu supaya melawat Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, di sini.
Bagaimanapun, beliau berkata, mereka perlu mengemukakan permohonan secara rasmi untuk melakukan lawatan itu dan perlu mematuhi peraturan tertentu yang ditetapkan Lynas apabila berada di loji penapis nadir bumi berkenaan bagi menjamin keselamatan mereka.
"Kami mahu supaya orang tahu apa kami lakukan kerana kami berbangga dengannya. Kami dengan senang hati akan menunjukkan loji kami kepada mereka. Orang mungkin salah faham tentang operasi kami dan seterusnya menyebabkan mereka membuat kesimpulan silap.
"Sudah tentu kami gembira menyambut kedatangan mereka yang beminat kerana kami juga mahu kami diterima di sini. Lagi pun, sudah menjadi budaya Malaysia dan Australia mengalu-alukan kedatangan tetamu," katanya kepada pemberita selepas sesi pendengaran awam tentang Lynas di sini pada Ahad.
Lacaze juga menegaskan sekali lagi komitmennya untuk memastikan loji itu tidak akan menjejaskan keselamatan atau membahayakan masyarakat Kuantan atau alam sekitar.
Beliau berkata Lynas terikat dengan tata kelakuan profesional dalam budaya kerjanya dan bergerak mengikut peraturan serta berpegang teguh kepada tanggungjawabnya sejak hari pertama beroperasi di sini.
"Sembilan puluh tujuh peratus daripada pekerja kami adalah rakyat Malaysia. Komitmen saya terhadap mereka yang bekerja dengan Lynas ialah memastikan mereka mempunyai pekerjaan dan selamat serta kembali ke pangkuan keluarga masing-masing pada waktu malam dalam keadaan baik.
"Staf kami suka bekerja dengan kami sebab kami memajukan diri mereka. Kami ingin tingkatkan kemahiran mereka dan teknologi di sini serta berkongsi kemakmuran dengan penduduk di sini. Kami mahu menyediakan keadaan yang baik serta persekitaran selamat," katanya.
Menyentuh tentang dakwaan Anggota Parlimen Bentong Wong Tack semasa sesi pendengaran awam itu bahawa Lynas membiayai kajian beberapa agensi tentang isu berkenaan, Lacaze berkata beliau tidak mahu mengulasnya kerana yakin dengan jawatankuasa kajian semula yang terdiri daripada profesional dan pakar dalam bidang masing-masing.
"Saya rasa tiada gunanya membuat sebarang dakwaan dan saya tidak sepatutnya berkata apa-apa tentang perkara itu. Warga Lynas terdiri daripada profesional dan kami akan serahkan kepada jawatankuasa kajian semula untuk menunaikan tugas mereka seperti yang diarah kerajaan," katanya.
Lacaze berkata adalah tidak adil untuk menyamakan Lynas dengan kilang penapis nadir bumi sebelum ini di Bukit Merah, Perak kerana berbeza dengan kilang penapis itu, Lynas tidak melepaskan sisanya ke alam sekitar dengan sewenang-wenangnya, manakala sisa buangan diurus dengan sewajarnya sebelum dilepaskan seperti disyaratkan undang-undang.
Menurut beliau, air buangan daripada loji itu dirawat sebanyak tiga kali sebelum dilepaskan.
Sementara itu, Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, yang menghadiri sesi pendengaran tersebut, meminta kerajaan Pakatan Harapan meminda syarat pemberian lesen kepada Lynas, yang membenarkannya mengitar semula sisa buangan.
"Menurut syarat kerajaan sebelum ini, Lynas dibenarkan mengitar semula semua bahan untuk kajian mereka, sedangkan kita tidak pasti tentang kesannya terhadap rantaian makanan," katanya.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau mahu agar syarat asal dikenakan terhadap Lynas supaya syarikat itu membawa pulang bahan buangan mereka ke Australia.
-- BERNAMA