Luqman sahkan letak jawatan pegawai khas Hannah Yeoh

Sinar Harian
April 22, 2023 08:32 MYT
Luqman dilantik bagi jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas (Strategik) pada Disember tahun lalu susulan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Luqman Long mengesahkan sudah meletakkan jawatan sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas (Strategik) kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menurutnya, notis peletakan jawatan berkenaan telah dihantar sejak dua minggu lalu.
Bagaimanapun, sebab peletakan jawatan tidak dinyatakan oleh Luqman.
"Saya dah maklum untuk berhenti sejak minggu pertama bulan April 2023 lagi.
"Notis sebulan, pejabat pun dah tahu lama. Huru-hara semua bila saya tegur pasal rumah terbuka," katanya menerusi ciapan Twitter pada Sabtu.
Luqman dilantik bagi jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas (Strategik) pada Disember tahun lalu susulan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Baru-baru ini, Luqman mencetuskan kontroversi apabila beliau mengkritik, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rumah terbuka Aidilfitri yang bakal dianjurkan di Kedah, Kelantan dan Terengganu berbanding kediaman rasminya di Putrajaya. -- Sinar Harian
#Luqman Long #letak jawatan #pegawai tugas-tugas khas #Hannah Yeoh